Categories
SELANGOR

Batang Kali berani lempar tuduhan, tapi tak berani disoal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan diingatkan lebih berani bertanggungjawab setiap tuduhan dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri di dalam ucapannya dan bukan mengambil sikap tidak memberi laluan untuk ADN lain meminta penjelasan terhadap tuduhannya.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata, sikap Mat Nadzari itu menimbulkan perasaan tidak senang dikalangan ADN lain dan menyebabkan beberapa ADN bangun meminta beliau memberi penjelasan terhadap tuduhan terbabit.

“Saya harap setiap ADN berani mengambil tanggungjawab ke atas setiap apa diucapkan di Dewan ini kerana ucapan mereka dimasukkan ke hansard dan dibaca generasi akan datang tetapi mereka tidak faham apa terjadi nanti.

“Bukan sahaja generasi akan datang, ADN juga tidak faham sebab itulah mereka minta penjelasan,” kata Hannah Yeoh pada hari kedua persidangan DNS di sini, hari ini.

Terdahulu, sesi membahaskan Belanjawan hari ini gamat apabila Mat Nadzari beberapa kali mendakwa belanjawan Kerajaan Negeri meniru belanjawan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan skim sewa beli perumahan.

Tindakan Mat Nadzari itu menyebabkan beberapa ADN tidak berpuas hati dan berdiri meminta beliau memberikan penjelasan terhadap tuduhan beliau.

Bagaimanapun Mat Nadzari enggan memberi laluan kepada ADN lain yang ingin mencelah bagi memohon penjelasan terhadap tuduhan itu.

Namun begitu ADN Kampung Tunku, Lau Weng San ketika mencelah sempat memberitahu Dewan, Kerajaan Negeri sudah melaksanakan skim sewa beli yang dinamakan Skim Dana-Sel untuk golongan kurang berkemampuan menyediakan wang pendahuluan membeli rumah sejak 2016 lagi.

EZY