Categories
SELANGOR

Selangor terima kunjungan 660,081 pelancong

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor menerima 660,081 pelancong dalam dan luar negara setakat Jun 2016, kata Exco Pelancongan, Elizabeth Wong.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar berkata, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama pada 2015 dengan 516,001 pelancong.

Katanya, lima negara teratas adalah Singapura dengan 75, 200 pelancong, Indonesia (40,431), China (40,290), India (21,410) dan Thailand (18,360).

“Terdapat beberapa tema pelancongan semakin mendapat perhatian seperti pelancongan eko dan alam semulajadi, perniagaan (MICE – Meeting Incentive, Conference & Exhibition), kesihatan, taman tema dan agro serta homestay.

“Antara produk terbaru pelancongan Selangor termasuk Bangi Wonderland, Nickelodeon Lost Lagoon, Sky Mirror Pulau Angsa, District 21 dan 3D Art Museum,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berhubung perkembangan terkini industri pelancongan Selangor.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut mengatur pelan strategik Promosi Pelancongan Tourism Selangor untuk tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020.

“Kita akan melaksanakan penjenamaan kempen, meningkatkan permintaan dari China, India dan pasaran baru menerusi siri promosi, membina kapasiti digital, menggalakkan pelaburan dan perniagaan pelancongan serta pelbagai acara pelancongan,” katanya.

EZY