Categories
NASIONAL

Caj naik, jangan jadikan wad sesak macam zon perang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan caj wad hospital tidak patut kerana ia hanya meningkatkan bebanan rakyat dalam situasi ekonomi tidak menentu.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, kenaikan caj sehingga 50 peratus bermula Januari tahun depan seperti diakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, pastinya mendatangkan kesan besar terhadap rakyat.

“Meskipun kenaikan hanya membabitkan wad kelas satu dan dua sahaja tetapi kesan jangkitan caj akhirnya akan terkena kepada pesakit wad kelas tiga.

“Ini kerana sebahagian pesakit dari kedua-dua kelas atasan itu akan berpindah ke wad kelas tiga kerana faktor bayaran hingga menyebabkan wad berkenaan penuh sesak dan berlaku keadaan seperti zon perang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ketua Biro Sains dan Kesihatan Keadilan itu berkata, keadaan itu bakal menjadi lebih teruk di dalam suasana krisis ekonomi dihadapi ketika ini.

Katanya, kemudahan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asas rakyat yang mesti dipertahankan dan terus diperbaiki.

“Penjimatan di sektor kesihatan hendaklah ditingkatkan dengan sistem tender terbuka, elakkan pembaziran dan pengurangan margin keuntungan kepada perkhidmatan diswastakan di premis kesihatan.

“Setiap ringgit dibelanjakan untuk kesihatan rakyat adalah penjimatan jika dibandingkan dengan kos rawatan dan kos menanggung rakyat yang sakit,” katanya.

EZY