Categories
NASIONAL

Kebakaran hutan di Israel terus merebak

TEL AVIV, 25 NOV: Penduduk di beberapa bandar berhampiran Jerusalem dipindahkan apabila kebakaran hutan yang memasuki hari keempat terus merebak di Israel.

Kebakaran kini melanda di kawasan Beit Shemesh, berhampiran bandar Beit Meir dan Shores dengan penduduk diarahkan berpindah keluar dari rumah.

Sebelum itu, pada malam Khamis, masyarakat Har Halutz di tengah Galilee dipindahkan selepas kebakaran di kawasan Karmiel turut mengancam kediaman mereka.

Kota Haifa dilaporkan paling terjejas setakat ini dengan 85,000 penduduk di lapan kawasan perumahan terbabit terpaksa meninggalkan penempatan masing-masing.

Satu lagi kebakaran hutan dilaporkan berlaku antara Iksal dan Nazareth Illit dan anggota bomba sedang berusaha melakukan kerja pemadaman api.

israelSebelum ini, Rejim Israel terpaksa menebal muka meminta bantuan negara jiran untuk menangani krisis kebakaran yang menyaksikan banyak kawasan musnah ekoran bencana itu.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Keselamatan Awam, Gilad Erdan yang meminta Greece, Croatia, Cyprus dan Turki menghantar pesawat pengebom air bagi memadamkan kebakaran.

Cyprus, Rusia, Itali, Croatia dan Greece antara negara yang menghulurkan bantuan untuk memadamkan kebakaran sebelum Tukri melakukan perkara sama.

Pesawat milik polis Israel cuba memadamkan berpuluh-puluh kawasan yang dimamah api, namun keadaan dijangka lebih buruk, sekali gus melangkaui keupayaan rejim Zionis menangani krisis terbabit.

Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk kawasan penempatan haram Yahudi di Nataf selain kawasan Karkom berdekatan Tiberias.

Sejumlah besar rumah pendatang dilaporkan musnah dalam kebakaran itu tetapi tiada kemalangan jiwa direkodkan setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Netanyahu menuduh penduduk Palestin sebagai dalang memulakan kebakaran tersebut dan berikrar untuk memburu pihak yang terlibat.

Difahamkan, polis menahan lapan individu dipercayai bertanggungjawab terhadap insiden terbabit sejak tiga hari lalu.

-AA-