Categories
NASIONAL

KPDNKK serbu sindiket seludup keluar minyak masak, gula pasir

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebuah syarikat penghantaran barang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dipercayai sindiket membawa keluar barang kawalan bersubsidi.

Timbalan Pengarah KPDNKK, Othman Nawang berkata, semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM30,000.

“Kita telah menemui dan merampas lebih 4 tan metrik minyak masak dan 5 tan metrik gula pasir.

“Kita menjumpai ratusan kotak dalam kontena dan didapati berisi minyak masak dan gula pasir yang dilonggokkan bersama pakaian dan barangan lain,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kotak-kotak itu dihantar dari seluruh negara ke beberapa lokasi di Indonesia.

“Kita masih menyiasat untuk mengenal pasti pembabitan syarikat penghantar ini dalam kegiatan penyeludupan barang kawalan yang ditemui.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-nR-