Categories
NASIONAL

KPDNKK arah peniaga patuh sifar GST

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga supaya mematuhi dasar kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pertemuan bersama Persatuan Peniaga sudah dibuat bagi memberi penjelasan menyeluruh terhadap pelaksanaan dasar baru itu.

“Pertemuan dan perbincangan bersama persatuan perniaga diadakan pada 25 Mei lalu, dan beberapa perkara dibangkitkan sudah diperjelaskan.

“Kita berharap pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan ditetapkan ini dapat dipatuhi,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat KPDNKK, pagi ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menetapkan kadar sifar GST dilaksanakan berkuatkuasa 1 Jun depan.

Kerajaan Persekutuan memaklumkan, pemansuhan dibuat terhadap barangan yang dikenakan di bawah cukai berkenaan.

Namun, pengecualian dikenakan terhadap barang dan perkhidmatan disenaraikan di bawah Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014.

Pelaksanaan kadar sifat baru itu tertakluk di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, Mohd Roslan memaklumkan, KPDNKK mengarahkan anggotanya turun padang mendapatkan gambaran sebenar harga pasaran terkini.

“Kita sudah mengarahkan pegawai membuat pemantauan di lapangan. Setiap seorang pegawai akan mendapatkan maklumat di sebuah premis dengan mendapatkan 30 jenis barangan sebelum GST diturunkan pada kadar sifar.

“Selepas kadar sifar berkuatkuasa, kita akan melihat perbandingan kedua-dua harga berkenaan untuk pastikan harga telah diturunkan,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPDNKK senarai 13 barangan kawalan sempena Tahun Baru Cina

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 13 jenis barangan menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Tahun Baru Cina, pada 16 dan 17 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim kawalan harga itu berkuat kuasa 12 hari mulai 10 hingga 21 Februari iaitu enam hari sebelum, satu hari semasa dan lima hari selepas sambutan itu diadakan selain pada hari perayaan.

Barangan yang disenaraikan dalam skim tersebut termasuklah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

“Peniaga diwajibkan menjual 13 barangan itu pada harga lebih rendah atau tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain,” katanya.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata demikian pada pada sidang media mengumumkan senarai barangan itu di Nilai, hari ini.

Menurutnya, skim kawalan harga musim perayaan ini membabitkan 91 daerah di Semenanjung, Sarawak (32), Sabah (27) dan satu daerah di Labuan.

Hamzah berkata, mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Individu terbabit juga boleh dikenakan kompaun hingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000 atau kompaun hingga RM250,000, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal, boleh didenda hingga RM10,000 atau kompaun hingga RM5,000 bagi individu.

“Manakala bagi syarikat, denda hingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000,” katanya.

Tegasnya KPDNKK melaksanakan pemantauan agresif bagi melindungi pengguna daripada kegiatan pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga tidak beretika.

Pengguna dan peniaga boleh membuat semakan harga barangan pada laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my.

Categories
NASIONAL

KPDNKK perlu gerak ops seluruh negara, banteras susu palsu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memperluaskan operasi rampasan susu rumusan bayi palsu ke seluruh negara, bagi memastikan ia dapat dibanteras.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata tindakan seperti itu wajar dilakukan kerajaan demi kesihatan rakyat seterusnya mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

“Berikutan rampasan lebih 200 kotak susu rumusan bayi disyaki palsu oleh KPDNKK, saya mendesak supaya ia diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan tidak ada sekotak pun susu berkaitan terdapat di dalam pasaran.

“Susu rumusan bayi palsu ini mengancam kesihatan bayi dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia, adalah wajib memperluaskan lagi kawasan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, polis juga perlu turut serta agar dalang di sebalik sindiket itu dapat diberkas secepat mungkin.

“Saya harap pihak berkenaan tidak meletakkan kesihatan bayi di dalam keadaan terancam,” katanya.

Terdahulu, KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi mengalami muntah teruk selepas menggunakan produk itu.

Rampasan itu hasil pemeriksaan di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, Johor, Khamis lalu.

PengarahKPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Categories
NASIONAL

KPDNKK serbu sindiket seludup keluar minyak masak, gula pasir

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebuah syarikat penghantaran barang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dipercayai sindiket membawa keluar barang kawalan bersubsidi.

Timbalan Pengarah KPDNKK, Othman Nawang berkata, semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM30,000.

“Kita telah menemui dan merampas lebih 4 tan metrik minyak masak dan 5 tan metrik gula pasir.

“Kita menjumpai ratusan kotak dalam kontena dan didapati berisi minyak masak dan gula pasir yang dilonggokkan bersama pakaian dan barangan lain,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kotak-kotak itu dihantar dari seluruh negara ke beberapa lokasi di Indonesia.

“Kita masih menyiasat untuk mengenal pasti pembabitan syarikat penghantar ini dalam kegiatan penyeludupan barang kawalan yang ditemui.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Kecam Pihak Hina Islam Dan Agama Lain – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 18072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri mengecam mana-mana pihak yang menghina Islam mahupun agama lain.

2. Kerajaan Selangor mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang memberi jaminan untuk tidak akan meminggirkan negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam industri pelancongan.

3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa agar lebih proaktif menangani masalah harga ayam dengan menetapkan tempoh masa harga silling bagi dengan lebih awal.

4. Ketua Polis Lahad Datu Superintenden Shamsudin Mat menafikan beliau pernah bermesyuarat dengan Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir dan memberitahu rancangan militan Sulu menceroboh Sabah.

Categories
SELANGOR

FOMCA : Siasat Monopoli Pengeluaran Ayam Tentukan Harga Tinggi

AYAM fomca

SHAH ALAM 13 JUL : Bagi mengawal harga ayam yang seringkali meningkat menjelang musim perayaan, Kerajaan Persekutuan disarankan untuk menyiasat samada wujudnya monopoli pihak tertentu yang mengambil kesempatan menaikkan harga di peringkat ladang lagi.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata langkah itu merupakan antara alternatif yang boleh dilaksanakan sejajar dengan kewujudan Akta Persaingan 2010.

“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) boleh jalankan siasatan untuk memantau jika terdapat suatu pakatan monopoli di kalangan penternak dan pengeluar yang menentukan harga ayam meningkat.

“Dengan ini, tindakan boleh diambil terhadap pihak yang memonopoli dan menstabilkan kembali harga ayam, memastikan harga ayam bebas daripada ditentukan golongan tertentu,” tegas Yusof ketika dihubungi.

Selain itu, Yusof juga turut mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat membenarkan bekalan ayam diimport daripada luar negara bagi menyaingi bekalan ayam tempatan untuk mengimbangi harga di pasaran.

“Ini bukan sahaja akan memberi persaingan sihat kepada pasaran ayam tempatan, tetapi dengan langkah ini harga ayam juga secara tidak langsung dapat distabilkan,” katanya.

Beliau mengulas kenaikan harga ayam yang naik mendadak sejak dua minggu lepas; kenaikan sehingga RM 8.50 dan RM 9.00 bagi setiap kilogram berbanding RM 6.50 dan RM 7.60 sekilogram sebelum ini.

Semalam, Menteri KPDNKK, Datuk Hasan Malek berkata, Kerajaan Pusat akan melaksanakan Skim Kawalan Harga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 bermula pada awal Ogos ini.

Katanya, dalam tempoh itu, harga ayam akan ditentukan kerajaan dan para peniaga dan pengeluar ayam harus akur dengan penetapan harga tersebut.

Pada hari biasa dan bukan musim perayaan iaitu pada luar tempoh Skim Kawalan Harga, harga ayam dalam pasaran tidak dikawal dan ia ditentukan berdasarkan permintaan dan penawaran.

Mohd Yusof menambah pengguna dapat membantu dengan mengurangkan permintaan terhadap pengambilan ayam, dan mengimbangi dengan pengambilan sumber lain seperti daging, ikan, dan juga sayur-sayuran.

“Permintaan yang terlalu tinggi sehingga dua kali ganda antara penyebab harga ayam naik, jadi kurangkan permintaan ayam dan ambil sumber makanan lain yang juga berkhasiat,” jelas Yusof.

Categories
SELANGOR

Turun Harga Barang, Kawal Jenayah Antara Tuntutan FOMCA Dalam PRU13

PETALING JAYA 29 JUN : Penurunan harga barang, tingkat pengangkutan awam dan kawal kadar jenayah merupakan tiga isu utama yang dituntut pengguna, kata Datuk Marimuthu Nadason.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), berkata tuntutan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -12, 2008 hingga 2011 melalui kempen konsumer kebangsaan (3K).

Katanya, manifesto bagi PRU13 itu diwujudkan memandangkan pengundi juga merupakan golongan pengguna.

“Isu kenaikan harga barang merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia. Taraf hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat tertekan.

“Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pertanian bagi menstabilkan harga, ” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Selain itu, kerajaan harus memberikan komitmen yang serius untuk menambah baik pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.

“Kerajaan juga harus mencari jalan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini, ” katanya.

Manifesto tuntutan itu berdasarkan lapan hak pengguna antaranya hak mendapat keperluan asas, keselamatan, pilihan, maklumat, bersuara, ganti rugi, pendidikan pengguna dan alam sekitar yang sihat.

Ia dilancarkan sempena PRU13 akan datang dan merupakan pertama kali dilancarkan sebelum pilihan raya.

“Manifesto ini bagi mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada parti politik yang akan bertanding pada PRU13 tentang isu-isu kepenggunaan.

“Pihak kami tidak kisah siapa yang memenangi PRU13 nanti, apa yang kami mahu hanya sebuah kerajaan yang boleh melindungi kami dengan baik.

“Kami mahu kerajaan mengambil serius apa yang dituntut ini. Kami harap perkara ini dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya membahaskan isu politik sahaja, ” katanya.

Marimuthu menambah Fomca turut mencadangkan agar pengawalseliaan perlindungan pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri(JPM) bukannya di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pihak Fomca berasa terkilan kerana setiap kali ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru, mereka diberikan peruntukkan khas tetapi tidak bagi kami.

“Di Singapura, kerajaan mereka memberikan peruntukkan khas kepada persatuan pengguna. Fomca tidak seperti NGO lain yang hanya membincangkan isu asas sahaja, ” katanya.

Justeru, jika di bawah JPM, Fomca dapat memberi lebih pendekatan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pengguna.

Manifesto tuntutan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Kami juga sudah menghantar ke semua parti pembangkang dan akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, parti terlibat juga diharap membuat perancangan untuk melaksanakan dasar dan program berkaitan isu tersebut apabila berjaya membentuk kerajaan.