Categories
SELANGOR

MB: Peruntukan ADN pembangkang kekal, gunalah untuk rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri tidak berhasrat menarik balik peruntukan disediakan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang ekoran peruntukan sebelumnya telah disalurkan bagi kegunaan mereka.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan sejumlah RM492,906.50 telah diberikan bagi keperluan ADN pembangkang di kawasan masing-masing sehingga 30 September lalu.

Beliau berkata, ia membuktikan peruntukan diberikan kepada ADN pembangkang telah digunakan dan Kerajaan Negeri tidak berhasrat menarik balik peruntukan berkenaan.

mb-dun“Saya tidak berhasrat untuk menarik balik kerana peruntukan diberikan, cuma nasihat saya kepada mereka supaya peruntukan ini juga digunakan bagi rakyat, jangan hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

“RM200,000 ini ialah untuk rakyat di kawasan masing-masing tetapi ADN pembangkang ambil hanya untuk kepentingan diri dan kemudahan pejabat sedangkan peruntukan kita siapkan untuk rakyat, mereka sengaja tidak ambil dan ini seharusnya tidak berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2017 Negeri di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Menjawab persoalan Sharum Mohd Sharif (Dengkil – BN) berhubung peruntukan RM700,000 dibekalkan kepada ADN Kerajaan, Mohamed Azmin berkata, sepatutnya ADN Dengkil itu memahami prinsip keadilan sebelum mempersoalkannya.

Katanya, peruntukan kos pengurusan pejabat ADN sebanyak RM6,000 dan RM200,000 untuk kegunaan ADN di kawaan masing-masing diberikan sama rata kepada setiap ADN kerajaan dan bukan kerajaan.

“RM200,000 Dengkil dapat, Sekinchan pun dapat manakala baki RM500,000 diuruskan Penyelaras DUN.

“Ini satu permulaan baik, seharusnya Dengkil ambil kerana di peringkat Parlimen sendiri kita tidak menikmatinya,” katanya.

Mulai 2015, Kerajaan Negeri meluluskan RM200,000 kepada setiap ADN bukan kerajaan atau RM2.6 juta bagi 13 ADN itu di Selangor untuk digunakan bagi tujuan meningkatkan infrastruktur asas dan kemudahan awam serta menjalankan aktiviti mesra rakyat di kawasan DUN masing-masing.

Beliau menjelaskan jumlah RM492,906.50 disalurkan bagi perbelanjaan ADN pembangkang sehingga 30 September lalu meliputi kos pengurusan pejabat ADN sebanyak RM6,000 bagi setiap bulan adalah Kota Damansara ialah RM42,000, Kuang (RM42,000), Semenyih (RM36,000), Dengkil (RM42,000), Sungai Burung (RM42,000), Permatang (RM42,000), Bukit Malawati (RM42,000), Jeram (RM42,000), Hulu Bernam (RM42,000), Batang Kali (RM42,000), Sungai Air Tawar (RM36,000) dan Sungai Panjang (RM36,000).

-nR-