Categories
SELANGOR

MB tinjau kawasan ban Kampung Tok Adam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

TANJUNG KARANG, 18 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turun padang meninjau pemasangan ban tambatan banjir di Kampung Tok Adam, di sini.

Beliau tiba bagi siri lawatannya ke Kuala Selangor menyantuni dan mendengar permasalahan masyarakat setempat khususnya di kawasan pinggir bandar.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin melihat sendiri ban-ban banjir perkampungan di sini yang digunakan penduduk setempat bagi menahan limpahan air sungai.

img_3114Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS), Mohd Nazif Daud turut hadir menyampaikan taklimat kepada Dato’ Menteri Besar berhubung sistem ban digunakan di kawasan itu.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian, dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Seterusnya, Mohamed Azmin bergerak ke Bagan Pasir bagi melawat kawasan ban digunakan penduduk di penempatan tersebut.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM4.3 juta untuk tujuan penambahbaikan ban-ban di kawasan berpotensi dinaiki air.

Ia merupakan sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri memastikan kesejahteraan penduduk di penempatan perairan negeri terjamin.

-nR-