Categories
NASIONAL

MP BN, pembangkang senada persoal kriteria lantikan pengawal keselamatan sekolah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kegagalan syarikat keselamatan menyediakan tenaga kerja mahir dan individu berkelayakan menjaga kawalan keselamatan di sekolah seluruh negara diakui anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas ketika membangkitkan pertanyaan di Dewan Rakyat pagi ini berkata, ada dalam kalangan syarikat keselamatan melanggar kriteria dengan menggajikan pengawal keselamatan tidak berkelayakan menjaga kawalan keselamatan di sekolah.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menimbulkan kecurigaan terhadap aspek keselamatan pelajar di sekolah khususnya di kawasan pinggir bandar.

“Dalam keadaan ini, ada pengawal keselamatan di sekolah itu adalah tukang kebun sekolah sendiri, ini bukan masalah luar biasa kerana keadaan ini memang berlaku khususnya di kawasan luar bandar.

“Sejauh mana keseriusan kementerian? Kontrak berjuta-juta dan mencecah ratusan juta untuk jumlah 10,000 sekolah.

“Apakah tindakan Putrajaya memastikan lantikan kontrak ini dilaksanakan mengikut kriteria yang ada?” kata anggota parlimen KEADILAN itu.

Mengakui perkara tersebut, anggota parlimen Barisan Nasional, Anuar Abd Manap menyarankan supaya Putrajaya mempertimbang cadangan untuk mengetatkan lagi prosedur dan kriteria lantikan pengawal keselamatan di sekolah seluruh negeri.

“Teluk Kemang ada menyebut isu ini, dan mungkin menteri tidak perasaan kerana isu ini sememangnya sangat penting apabila kita dimaklumkan ada sekolah yang mengambil pengawal keselamatan yang bukan dalam kriteria itu.

“Apakah wujud cadangan dengan menetapkan supaya hanya bekas polis, tentera, warga tempatan dan had umur tertentu sahaja dipilih untuk menjadi pengawal keselamatan?” soal Ahli Parlimen Sekijang itu.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanthan berkata, kontrak syarikat keselamatan boleh ditamatkan sekiranya wujud pelanggaran ketetapan kriteria sebelum ini.

“Untuk tempoh ini sudah 30 peratus kontrak ditamatkan menerusi 24 laporan dibuat susulan prestasi mereka yang tidak memuaskan.

“Kementerian akan terus memantau perkara ini dan sekiranya perlu kriteria syarat-syarat lantikan juga boleh diperketatkan,” katanya.

EZY