Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan induk pertanian negeri siap sepenuhnya Disember ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Pelan induk pembangunan pertanian negeri dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember ini, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, fokusnya tertumpu kepada perancangan jangka panjang untuk membangunkan prospek pertanian negeri yang giat dilaksanakan ke arah membantu perkembangan industri pertanian negeri.

“Kita sedang dalam proses akhir untuk menyiapkan pelan induk pertanian pembangunan negeri menerusi kerjasama yang dibuat bersama Universiti Putra Malaysia (UPM).

img_5551-800x533“Pengisiannya tertumpu kepadap pelan pembangunan jangka panjang pertanian negeri yang akan siap sepenuhnya Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad yang membangkitkan komitmen Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prospek pertanian negeri.

Terdahulu, pelan tersebut dirangka secara konsisten dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Dalam perkembangan sama, pelan tersebut juga tertumpu kepada usaha pembangunan semula hasil projek Fruit Valley yang dilaksanakan di Kuala Selangor dapat dinikmati dan menjana pertumbuhan hasil pertanian negeri.

“Dalam tempoh terdekat ini kita boleh melihat dan melawat perkembangan yang sangat baik dengan peningkatan hasil tanaman yang diusahakan usahawan tani.

“Dijangka pertengahan 2017 juga Selangor Fruit Valley ini akan dibuka kepada umum sebagai inisiatif menyokong program agro pelancongan negeri,” katanya.

-NFN-