Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gabungan PAKATAN makin kukuh, bersedia hadapi PRU-14

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 16 DIS: Perjanjian kerjasama dimeterai Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyerlahkan gabungan pembangkang yang mantap serta bersedia menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, persepakatan itu membuktikan pembangkang berjaya membentuk blok berwibawa untuk dipilih rakyat serta mampu mengambil alih pentadbiran negara.

“Perjanjian dimeterai PAKATAN dan PPBM memberi isyarat bahawa pembangkang sebagai blok tidak boleh dikategorikan tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

abdullah-sani“Malah, kita telah mengadakan satu persepakatan dalam membentuk kepimpinan yang terserlah menampilkan kewibawaan mampu mengambil alih kepimpinan negara pada bila-bila masa,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama terbabit terus mengukuhkan pembangkang sebagai kelompok utama dan mana-mana parti pembangkang yang tidak menyertai gabungan berkenaan seharusnya dibiar atau ditinggalkan.

Katanya, PAKATAN meletakkan matlamat mengambil alih pentadbiran kerajaan dipimpin BN sejak sekian lama bagi melakukan perubahan total yang didakwa pincang angkara penyalahgunaan kuasa.

“Apa yang penting sekiranya dipilih, kita mahu membentuk kerajaan yang efisien dan mereformasikan sistem pentadbiran yang dibobrokkan juga sarat dengan masalah rasuah selain tidak boleh diterima rakyat.

“Kini, kita sudah melalui fasa perubahan iaitu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada 13 Disember lalu, PAKATAN dan PPBM mencapai kata sepakat dalam memeterai perjanjian kerjasama bagi menghadapi BN pada PRU-14.

Perjanjian di Ibu Pejabat KEADILAN ditandatangani pucuk pimpinan parti komponen PAKATAN terdiri daripada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, manakala PPBM diwakili Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perjanjian menggariskan tujuh perkara dipersetujui bersama termasuk mengadakan rundingan dengan parti yang belum berada dalam perjanjian itu bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

-NFN-