Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPR akhirnya setuju adakan siasatan tempatan persempadanan semula

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan siasatan tempatan terhadap isu persempadanan semula bagi Parlimen Setiawangsa sebagai kemenangan awal buat pengundi kawasan itu.

Fahmi berkata, SPR pada awalnya menolak permohonan bantahan itu dengan alasan hanya menerima 81 borang bantahan berbanding syarat minima yang memerlukan sekurang-kurangnya 100 bantahan.

“Kami hantar 110 borang bantahan sama seperti dalam rekod tetapi ditolak dengan alasan hanya menerima 81 borang sahaja.

FAHMI“Bagaimanapun, SPR melalui surat bertarikh 25 November 2016 akhirnya mengakui bahawa 110 borang bantahan yang kami masukkan pada 11 Oktober lalu telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,” kata Fahmi pada sidang media di perkarangan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, berikutan keputusan SPR itu, beliau dan wakil 110 pengundi terbabit, Nalina Nair menarik menarik balik permohonan semakan kehakiman yang difailkan, pada 18 November lalu.

Katanya, kejayaan itu membuktikan reformasi proses persempadanan semula amat diperlukan termasuk langkah mengumum sebab khusus mengapa sempadan sesebuah daerah mengundi itu diubah agar penduduk memahami rasional SPR mengubah sesebuah sempadan pilihanraya.

Katanya, SPR juga perlu mengumumkan pasukan pakar topografi dan tebaran penduduk yang digunakan dalam merangka syor persempadanan semula.

Selain itu, SPR juga disarankan supaya mereformasi proses persempadanan semula untuk memudahkan lebih ramai pengundi terlibat secara langsung daripada peringkat perangkaan syor ke proses bantahan dan selanjutnya.

“SPR perlu menunjukkan kesungguhan politik (political will) untuk mereformasi proses persempadanan semula agar ia menjadi lebih telus, lebih adil, dan yang paling penting lebih terbuka kepada kritikan serta pandangan pengundi juga penduduk sesebuah bahagian pilihan raya,” katanya.

-NFN-