Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

GLC perlu bantu PWS bangun tanah wakaf terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) diminta untuk membantu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dalam membangunkan tanah wakaf yang terbiar di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Rodziah Ismail berkata, hal itu kerana PWS tidak mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan tanah wakaf secara bersendirian.

Katanya, masyarakat Islam akan mendapat manfaat dan faedah yang besar terutama bagi golongan kurang berkemampuan menerusi pembangunan itu.

Perbadanan Wakaf Selangor“Saya mencadangkan GLC mengambil usaha ini sebagai tanggungjawab membangunkan tanah wakaf. Mereka boleh bekerjasama dengan PWS untuk mengenal pasti tanah terbiar.

“Kita boleh mengenal pasti tanah wakaf yang tidak diguna dan tidak ada perancangan sama ada berstatus pertanian atau pembangunan untuk memaksimumkan kegunaan tanah itu,” katanya ketika taklimat PAC berkenaan PWS, di Bangunan Annexe, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, satu kajian terperinci antara organisasi itu perlu dijalankan bagi mengenal pasti cara efektif bagi membangun dan menguruskan tanah wakaf terbabit.

“Jika tanah wakaf dan baitulmal ini dapat dibangunkan, ia akan memberi banyak manfaat dan dapat meningkatkan sosioekonomi umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang memaklumkan kepada PAC akan kekurangan dana untuk PWS membangunkan tanah terbiar.

-NFN-