Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sepang lubuk sepak takraw

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 29 DIS: Siri ketiga program pembangunan sepaktakraw TRIO Impian Perangsang Selangor 2016 bagi daerah Sepang berjaya menarik hampir 80 orang peserta seawal 12 hingga 60 tahun.

Penggiat sepak takraw seluruh daerah Sepang hadir termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor yang turut mengambil peluang menyertai program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad itu selama dua hari, pada 24 dan 25 Disember lalu.

Program bermula dengan pendaftaran peserta seawal jam 10 pagi dan latihan pelbagai modul selain diadakan simulasi perlawanan berbentuk perlawanan liga 13 regu bertujuan merapatkan lagi ukhuwah antara peserta serta menguji keserasian regu.

tr0a2694Program kali ini dikendalikan sepenuhnya ketua jurulatih yang juga salah seorang tenaga pengendali Sekolah Sukan Negeri Selangor, Seksyen 11, Shah Alam iaitu Syarudin Nazir sambil dibantu Najib Hussin iaitu pembimbing MSSD Sepang dan bekas apit kiri skuad negara Mohd Hafizie Manap.

Mohd Hafizie berkata, beliau amat gembira diberi ruang itu kerana sebagai bekas pemain negara, peluang terlibat dengan Trio Impian 2016 membolehkannya berkongsi pengalaman secara langsung dengan bakat yang berpotensi, sekali gus merangsang mereka untuk mengikuti jejak langkahnya untuk mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Selain itu, beberapa bakat muda berpotensi besar seperti Firdaus Abdulnan yang berusia 21 tahun dan beraksi di posisi apit kanan dikesan. Video aksi beliau yang dimuat naik ke laman sosial mencapai tontonan melebihi 30,000 hanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Kelab Sepaktakraw Salak (KESS) dipilih sebagai gelanggang tumpuan bagi daerah Sepang, sekali gus akan bertanggungjawab meneruskan program pembangunan itu di sana demi merealisasikan impian mengangkat kembali Selangor dalam arena sepak takraw kebangsaan.

-NFN-