Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hotel Concorde saji Sup gear box sepanjang Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 MEI: Bagi pengemar sup gear box, anda kini boleh menikmati keenakan juadah berkenaan ketika berbuka puasa di Hotel Concorde sepanjang Ramadan, kali ini.

Chef Masakan Melayu, Mohd Hafizi Abdul Aziz berkata, sup berkenaan dimasak setiap pagi sepanjang Ramadan bagi memastikan kualiti serta rasanya terjamin ketika dihidangkan kepada pelanggan.

“Menu yang menjadi pilihan pelanggan hampir saban tahun itu diadun dengan rempah ratus yang diadun sendiri oleh tukang masak kami.

“Dengan harga bayaran bufet iaitu RM120 ini, orang ramai boleh menikmati sup gear box bersama 300 jenis menu termasuk sajian utama dan juga pencuci mulut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Media Ramadan Food Review di Hotel Concorde, semalam.

Sementara itu Pengarah Pemasaran dan Jualannya, Amilia Alias berkata, tema ‘Selera Berbuka Warisan Dinda Kanda’ menjadi pilihan pihak hotel tahun ini.

Antara menu lain yang ditawarkan ialah Bubur Lambuk Ayam Dara Lada Hitam, Bubur Lambuk Daging Batang Pinang, Bubur Lambuk Makanan Laut dan Kari Kepala Ikan Jenahak.

“Promosi istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan ialah, mereka hanya perlu membayar RM100 buat tiga hari pertama dan tiga hari terakhir Ramadan, untuk menikmati hidangan berbuka puasa di sini.

“Dengan kepelbagaian menu yang dihidangkan serta rasa yang cukup lazat, ini adalah harga yang paling berbaloi yang anda boleh perolehi dari Hotel Concorde,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Hotel Concorde edar 8,000 bubur lambuk percuma

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 APR: Kira-kira 8,000 bubur lambuk secara percuma diedarkan kepada penduduk Shah Alam oleh Hotel Concorde, hari ini.

Pengarah Pemasaran dan Jualannya, Amilia Alias berkata, ia bersempena Program Tanggungjawab Sosial dijalankan pihak hotel sejak 14 tahun lalu.

Katanya, lebih 100 kakitangan yang terbabit memasak bubur bermula jam 7 pagi di perkarangan hotel.

“Sebanyak 24 periuk digunakan dengan 240 kilogram beras untuk memasak bubur lambuk kali ini.

“Matlamat utama kami ialah mahu meraikan Ramadan bersama dengan penduduk Shah Alam yang selama ini banyak menyokong Hotel Concorde sejak penubuhannya 21 tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini ketika Program Bubur Lambuk, hari ini.

Amilia berkata, bagi mereka yang terlepas merasai keenakan bubur lambuk berkenaan, bolehlah merasainya di Melting Pot Cafe Hotel Concorde sepanjang Ramadan ini.

“Antara menu bubur lambuk yang ditawarkan ialah Bubur Lambuk Ayam Dara Lada Hitam, Bubur Lambuk Daging Batang Pinang dan Bubur Lambuk Makanan Laut,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Hotel Concorde sedia masakan halal Cina

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JAN: Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Hotel Concorde menyediakan pakej masakan Cina halal buat semua lapisan masyarakat.

Senior Sous Chef, Shaiful Izwan Abdullah berkata, ia sekali gus membolehkan pengunjung tidak berasa was-was ketika menikmati masakan yang disediakan.

Katanya, setiap penggunaan bahan akan dipantau pihaknya sebelum digunakan dalam setiap jenis masakan.

“Dengan adanya pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia memberi ruang kepada orang ramai mencuba menu masakan Cina yang enak disediakan,” katanya.

Wartawan SelangorKini bersama blogger berpeluang merasai keenakan menu istimewa yang disediakan hotel terkemuka itu.

Antaranya termasuk itik panggang, ikan kerapu stim yang dimasak menggunakan sos khas dan tidak ketinggalan Yee Sang.

Pengurus Besarnya, Patrick Ng berkata, tambah menarik apabila kali ini pihaknya menyediakan tujuh jenis Yee Sang khas buat pelanggan.

Sudah tentu Yee Sang menjadi menu utama sempena Tahun Baharu Cina yang tidak boleh ditinggalkan ketika majlis makan besar diadakan.

Ia termasuk Salmon; Scallop; Pear & Salmon; Pacific Clan; Abalone; Fish Maw dan Disney Yee Sang.

“Setiap satunya mempunyai perisa yang berbeza dan bagi mereka yang berminat boleh terus datang ke hotel kami untuk merasainya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hotel Concorde hidang menu masakan Cina halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JAN: Peka dengan permintaan masyarakat, Hotel Concorde tampil dengan menu masakan Cina halal sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Senior Sous Chef, Shaiful Izwan Abdullah berkata, ia sekali gus bagi membolehkan pengunjung tidak berasa was-was ketika menikmati masakan Cina disediakan.

Katanya, setiap penggunaan bahan akan dipantau pihaknya sebelum digunakan dalam setiap jenis masakan.

“Dengan adanya pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia memberi ruang kepada orang ramai mencuba menu masakan Cina yang enak disediakan.

“Tambahan lagi, chef yang menyediakan hidangan ini sememangnya mempunyai kepakaran dalam menu masakan Cina,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Sesi ‘Food Review’ Yee Sang Tahun Baru Cina 2019 di Hotel Concorde, hari ini.

Shaiful Izwan berkata, terdapat tiga pakej menu disediakan bermula dari harga RM888 hingga RM1,188.

Katanya, setiap menu akan dihidangkan bersama Yee Sang yang menjadi hidangan wajib setiap kali makan besar ketika meraikan sambutan terbabit.

“Tambah menarik kali ini kami menyediakan tujuh jenis Yee Sang yang boleh dinikmati, antaranya ialah Salmon, Scallop, Pear & Salmon, Pacific Clan, Abalone, Fish Maw dan Disney Yee Sang.

“Menu ini disediakan bermula dari semalam hingga perayaan Chap Goh Meh pada Februari depan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hotel Concorde rai Krismas bersama anak yatim

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 15 DIS: Hotel Concorde Shah Alam meraikan 33 anak yatim dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih (House of Love), Klang dalam satu majlis jamuan makan tengah hari sempena sambutan Krismas.

Pengurus Besarnya, Patrick Ng berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel terbabit untuk berkongsi kegembiraan dengan anak yatim berkenaan.

“Program CSR bukan sahaja berkenaan sumbangan tetapi lebih kepada meluangkan masa dengan anak-anak ini supaya mereka menikmati Krismas dengan lebih meriah memandangkan kebanyakan daripada mereka mempunyai memori buruk dari keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan televisyen LED televisyen 40 inci berserta sumbangan lain bernilai RM3,000.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pertandingan menghias kek cawan yang dinilai Chef Eksekutif Hotel Concorde, Alham Ahmad Daldiri.

“Sambut kali ini sangat meriah dengan anak yatim ini diberikan bintang nama untuk digantungkan pada pokok Krismas yang dihias sendiri warga kerja Concorde,” katanya.

Sementara itu, Pengasas House of Love, Joseph Pang berkata, beliau bersyukur menerima sumbangan itu dan berharap jalinan terbabit dapat diteruskan, pada masa akan datang.

-AA-

Concorde Shah Alam anjur majlis berbuka puasa bersama anak yatim


Hotel Concorde Shah Alam raikan lebih 100 orang anak yatim daripada empat buah rumah untuk berbuka puasa bersama penyampaian sumbangan hari raya.

Categories
SELANGOR

Shah Alam gempar Hotel Concorde ‘terbakar’

SHAH ALAM 15 FEB: Hotel Concorde Shah Alam mengadakan latihan kebakaran dengan kerjasama Pasukan Bomba dan Penyelamat hari ini.

Fire drillLatihan itu juga turut menerima kerjasama Polis yang melibatkan kira-kira 100 pekerja hotel itu.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook hotel itu ia bagi menguji tahap persiapan menghadapi kebakaran dengan meletakkan standart tinggi bagi keselamatan tetamu.

Antara latihan diadakan adalah cara memadam api ketika berlaku kecemasan dan cara menyelamatkan diri menggunakan tali dari bangunan tinggi.

Ambulan juga berada di lokasi latihan dan turut sama mengadakan latihan bersama menyelamatkan mangsa kebakaran.

EZY

Categories
SELANGOR

UNISEL terima dana SATREPS kaji sumber bio

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 20 OGOS: Universiti Selangor (UNISEL) akan menjalankan kajian penyelidikan bersama institut pengajian tinggiternama Jepun berhubung sumber bio melalui Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) dengan peruntukan USD5 juta.

Menurut kenyataan komunikasi korporat UNISEL, SATREPS mengilhamkan ilmu baru dalam mengatasi isu global seperti alam sekitar, tenaga, biosumber, kawalan bencana alam dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Cadangan projek ini diterima dan mendapat anugerah geran peruntukan dari SATREPS bagi tahun 2015 sebanyak USD5 juta untuk dilaksanakan di Malaysia yang dijangka bermula tahun depan selama lima tahun,” jelas kenyataan itu.

Unisel 1SATREPS adalah program insiatif yang mempromosi kerjasama penyelidikan menggunakan kecanggihan sains dan teknologi Jepun membabitkan agensi Japan Science and Technology (JST), Japan International Cooperation (JICA) serta Japan Medical Research and Development (AMED).

Kajian penyelidikan itu juga adalah gabungan usahasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Universiti Tokyo, Universiti Soka dan National Institute of Environment Tokyo.

UNISEL yang diketuai oleh Prof Dr Mohd Khushairi Mohd Rajuddin dari Fakulti Sains dan Bioteknologi akan diwakili sembilan orang terdiri daripada lima pensyarah serta selebihnya pelajar.

Dianggarkan 30 orang akan terlibat secara keseluruhan mewakili institusi masing-masing.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa semua institusi terlibat perlu melalui pelbagai persediaan termasuk melengkapkan tatacara dan aturcara penyelidikan serta makmal sedia ada di universiti masing-masing.

“Agensi sains dan teknologi serta SATREPS Jepun akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan ia memenuhi piawaian sebelum penyelidikan dapat dimulakan.

“UNISEL secara langsung perlu melengkapkan makmal sedia ada iaitu LaMBO (Laboratory for Marine Bio-Optical Observation) yang terletak di Fakulti Sains dan Bioteknologi, Kampus Bestari Jaya,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, mesyuarat teknikal bagi kajian di Malaysia dijalankan melibatkan tujuh pakar dari Jepun di Hotel Concorde, Shah Alam.

unisel 2Majlis itu turut dihadiri Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang sempat meluangkan masa hampir dua jam berkongsi pandangan serta cadangan dengan semua saintis terlibat.

SATREPS sebelum ini juga menganugerahkan geran kepada saintis pelbagai negara yang disifatkan mampu melaksanakan aspirasi badan itu seperti Chile, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, Ghana, Kenya, Turki, Afghanistan, India, Thailand, Filipina, Mexico dan Colombia.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Datuk Misbun Sidek Dianugerah Tokoh Sukan Selangor 2012

Tokoh Sukan Misbun Soidek 2012 01

SHAH ALAM 6 JUN : Bekas pemain badminton kebangsaan dan juga jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek dianugerahkan Tokoh Sukan Selangor 2012 bagi menghargai sumbangan besar beliau dalam memajukan sukan di negeri ini.

Misbun yang ditemui berkata, beliau mengharapkan pembangunan sukan badminton di negara ini terus dimajukan daripada segi infrastruktur agar dapat menyediakan pelapis terbaik.

“Terima kasih dengan penghargaan ini setelah mendapat anugerah Olahragawan Selangor pada 1981 kini pada 2013 hampir 22 tahun dan ini adalah penghargaan yang bermakna dengan apa yang disumbangkan selama ini,” kata Misbun.

Kata beliau, bakat-bakat yang dicungkil selama ini diperingkat akar umbi cukup ramai namun ketika disatu peringkat mereka tersekat.

“Jadi kita perlu melihat mengapa keadaan tersekat ini berlaku, saya harap agar ada satu pembaharuan dalam perkara ini,” kata beliau ketika ditemui selepas menerima Anugerah Tokoh Sukan Selangor 2012 di Hotel Concorde semalam

Hadiah itu yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang mewakili DYMM Sultan Selangor.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tambah beliau lagi, pembaharuan sistem pembangunan sukan badminton itu adalah amat penting diberi perhatian kerana jika sistem itu betul maka proses itu akan berjalan baik.

Menerima anugerah yang sama ialah bekas atlet bola baling, Jacob Mathew.

Tokoh Sukan Jacob Mathew 2012 02

Categories
SELANGOR

Wakaf Selangor Muamalat Untuk Pembangunan Kesihatan dan Pendidikan

SHAH ALAM, 27 SEPT : Dalam usaha menambahbaik aktiviti wakaf, Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan “Wakaf Selangor Muamalat” bagi pengurusan dana wakaf di Selangor.

Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid berkata, Bank Muamalat melalui 18 rangkaian cawangannya di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf secara usahasama dengan PWS.

Beliau berkata, kutipan dana wakaf ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan serta pendidikan.

“Sebagai permulaan untuk dana wakaf, Bank Muamalat akan memberi sumbangan wakaf sebanyak RM1 juta. Kakitangan Bank Muamalat turut memberi sumbangan wakaf sebanyak RM75,040.

“Melalui kutipan daripada pembayaran berkala, hibah dan sumbangan langsung daripada sektor runcit dan korporat, kami menjangka dana wakaf ini akan berkembang dari semasa ke semasa,” kata Munir.

Majlis pelancaran perkhidmatan terbaru Bank Muamalat ini disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Hotel Concorde, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Tambah Munir, skim ini mensasarkan kutipan dana sehingga RM 50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pengurusan kutipan wakaf ini akan dilakukan menerusi pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang bertindak merangka serta melaksanakan aktivit-aktiviti wakaf.

“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan sebagai tanggungjawab sosial korporat,” katanya lagi.