Categories
SELANGOR

Isu Rohingnya: Malaysia perlu lantang nyata pendirian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 DIS : Kerajaan Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas berhubung kemelut melanda masyarakat Rohingnya di Myanmar, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketua Pembangkang itu berkata, Putrajaya wajar memanfaatkan kedudukannya sebagai anggota ASEAN dan Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB untuk lebih lantang menyatakan pendirian tersebut.

“Malaysia sebagai pengaras ASEAN harus ke depan memecahkan tradisi lapuk membawa isu penghapusan etnik Rohignya ke peringkat ASEAN kerana isu tersebut berkait isu kemanusiaan dan hak asasi.

wan-azizah“Mengapa Kerajaan tidak menggunakan peluang, amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Tidak Tetap PBB membawa usul tergempar mengenai penghapusan etnik Rohingnya?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian Kerajaan Malaysia berhubung tindakan dibuat Kerajaan Myanmar terhadap etnik tersebut di negara itu.

Terdahulu, Kementerian Imigresen Myanmar mengumumkan pihaknya menghentikan pengeluaran lesen kepada rakyatnya yang mahu bekerja di Malaysia.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Myanmar melarang rakyatnya bekerja di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot pula dilaporkan berkata pihaknya belum menerima notis rasmi daripada kerajaan Myanmar berhubung larangan itu.

Bagaimanapun sehingga kini, Kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan pendirian tegas berhubung tindakan tersebut.

-nR-