Categories
SELANGOR

Jadikan bidang kemahiran keutamaan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 3 DIS: Bidang kemahiran perlu diberikan tumpuan kerana ia semakin mendapat tempat dalam pasaran kerja mutahkir ini.

Exco Kemiskinan Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, bidang kemahiran perlu dijadikan bidang utama sama seperti bidang akademik yang mendapat lebih perhatian pelbagai pihak sejak sekian lama.

“Jadikan bidang kemahiran sebagai bidang utama sama seperti bidang akademik.

“Banyak negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun memberikan tumpuan kepada pembangunan bidang kemahiran.

“Melalui Kolej Inpens, saya percaya kita mampu merealisasikan hasrat itu,” katanya.

inpens1Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memberikan sokongan kepada usaha memantapkan bidang kemahiran dengan menggalakkan anak mereka menyambung pelajaran di Kolej Antarabangsa INPENS.

Menurutnya, pelbagai program akan dilakukan INPENS bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar baru mendalami bidang kemahiran.

Katanya, langkah INPENS yang memperkenalkan bidang kulinari dan mendapat sambutan pelajar membuktikan mereka mampu meneroka bidang kemahiran lebih luas.

Ganabatirau sebelum itu menyempurnakan Fiesta Inpens 2016 sambil diiringi Pemangku Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman.

Dalam majlis sama, sektor Elektrik mengungguli Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Bahan Terpakai menerusi rekaan salur air mudah alih dengan mengenepikan cabaran sektor Automotif dengan rekaan Smart Generator Trolley.

Tempat ketiga diungguli sektor penyaman udara dengan rekaan Outdoor Lifter.

=EZY=