Categories
SELANGOR

MBPJ prihatin golongan kurang berkemampuan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 3 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) ‘Jom Shopping’ Peralatan Sekolah, Jumaat lalu.

Seramai 50 penerima bantuan PPKB berpeluang membelanjakan baucer bernilai RM280 untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Bertempat di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya program itu dianjurkan untuk kali keenam dan merupakan program tahunan MBPJ.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain hadir meluangkan masa melihat dan bersama dalam program itu.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, objektif pemberian sumbangan bertujuan meringankan bebanan penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM2,000 ke bawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

“Di samping itu juga, ia merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti setempat di bawah pentadbirannya.

“Kesemua penerima sumbangan ini merupakan penduduk berdaftar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang berada di kawasan pentadbiran MBPJ iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS), Desa Mentari dan lain-lain kawasan,” katanya.

=EZY=