Categories
NASIONAL

Jangan tergesa-gesa lancar projek HSR

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk tidak tergesa-gesa melancarkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal menelan kos RM50 bilion.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepatutnya diberikan peluang melancarkan perkhidmatan ETS (electric train service) antara Kuala Lumpur dan Singapura terlebih dahulu.

Katanya, keputusan untuk meneruskan HSR hanya boleh ditentukan selepas ETS mula beroperasi, pada 2020.

“Mengikut analisis pakar kewangan, projek HSR memerlukan 140 juta trip setahun untuk ‘break even’, bersamaan 384,000 trip setiap hari.

“Populasi Malaysia, Singapura dan pelancong tidak mencukupi untuk memenuhi 384,000 trip setiap hari.

“Maka, walau tidak diingini, projek HSR mungkin akan bankrap juga,” katanya dalam kenyataan.

Sim Tze TzinSebelum ini, media melaporkan perjanjian projek HSR Kerajaan Persekutuan dengan Singapura yang sepatutnya ditandatangani, pada 5 Disember lalu ditangguhkan ke 21 Disember ini.

Pada masa sama, Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kos sebenar projek HSR dijangka jauh lebih tinggi ekoran inflasi juga nilai ringgit yang semakin lemah.

Katanya, kemampuan kerajaan untuk membiayai projek mewah itu juga meragukan dengan mengambil kira hutang negara yang menjangkau RM655 bilion dan faedah hutang RM73 juta ringgit sehari.

“Adakah kerajaan akan menjual tanah di sepanjang landasan HSR kepada syarikat dari China atau Jepun yang dijangka memenangi tender untuk membiayai kos tinggi projek berkenaan.

“Jika benar, ingin kita bertanya, berapa banyak tanah yang akan dikorbankan demi projek mewah HSR ini?” soalnya.

Buat masa ini, kerja pembinaan trek berkembar Gemas-Johor Bahru baru sahaja bermula dengan kos RM7.13 bilion dan dijangka siap penghujung 2020, sementara pembinaan HSR pula dijangka bermula pada 2018 dan siap, pada 2026.

-AA-