Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

MB: Rombakan FAS, gesaan RMS tepat demi masa depan Red Giants

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 DIS: Gesaan supaya perubahan dilakukan terhadap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) seperti disuarakan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah tepat masanya.

Ia juga bersesuaian dengan perancangan dirangka berikutan situasi berlaku serta kebimbangan peminat terhadap masa depan The Red Giants dalam mengembalikan kegemilangan pernah dinikmati pada masa lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri berterima kasih dan mengalu-alukan gesaan Raja Muda Selangor itu terhadap perubahan ke atas FAS demi kebaikan bola sepak Selangor.

“Seperti dilaporkan, saya selaku Presiden FAS dengan jelas menyatakan Timbalan Presiden dan Jawatankuasa Eksekutif persatuan mesti dikendalikan secara profesional oleh mereka yang bukan sahaja kompeten tetapi komited untuk melihat Selangor berjaya dalam jangka masa panjang.

“Apa dipertaruhkan adalah rekod dan sejarah masyhur The Red Giants terpahat yang tidak boleh dikorbankan ekoran tindakan mementingkan diri sendiri daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan kepada rakyat khususnya penyokong setia negeri bahawa tindakan diambil bagi memastikan bola sepak Selangor dipertingkatkan demi mencapai kejayaan pada masa depan.

Katanya, pandangan dikongsi Raja Muda Selangor selaras perancangan perubahan bahawa bola sepak adalah berkenaan sukan, pembinaan pasukan dan berusaha untuk berjaya demi peminat, negeri dan negara selain tidak kaitan dengan politik.

Sebagai Presiden FAS, tegasnya, beliau mengambil perhatian terhadap cadangan supaya diperkenalkan “barisan baru yang bebas daripada politik, berdasarkan merit, segar, penuh dengan tenaga dan mampu mencapai keputusan”.

“Mengenai persoalan dana, ia tidak boleh terlalu terarah kepada kepentingan produktiviti dan input di pihak pengurusan dan ia mesti setimpal dengan sokongan kewangan disediakan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

“Dalam perkara ini, cadangan pendekatan pemasaran sukan menyeluruh bagi membolehkan FAS menjana pendapatan mampan pada masa depan bukan sahaja sesuai tetapi dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersama rakyat dan peminat setia, berjanji mengembalikan bola sepak Selangor ke zaman kegemilangan Dato’ Mokhtar Dahari dan Dato’ Soh Chin Aun serta mengembeling usaha meningkatkan kualiti pemain ke tahap antarabangsa.

=EZY=