Categories
PENDIDIKAN

Mobiliti pelajar KUIS dan IAIN Bukittinggi kukuh hubungan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 13 DIS: Program mobiliti pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bersama Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia, mengukuhkan hubungan antara kedua pusat pengajian tinggi serantau itu.

Aktiviti julung kali dijayakan di kolej berkenaan disertai sekumpulan pelajar KUIS bersama dua pensyarah dan 14 pelajar IAIN bermula 28 November hingga 11 Disember lalu.

Timbalan Pendaftar, Pejabat Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Halim Mokhtar berkata, program terbabit adalah satu usaha memberi pendedahan berguna kepada pelajar kedua-dua institut pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

“KUIS sebagai tuan rumah bagi program julung kali diadakan berharap semua peserta dapat mengumpul kenalan serta pengalaman berharga buat bekalan hidup pada masa hadapan.

“Pelbagai pengisian menarik disusun untuk semua pensyarah dan pelajar IAIN di sepanjang program berlangsung,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan ialah menghadiri kuliah di KUIS, mengikuti pengisian Da’i, Ulama dan Umara di Masjid Al-Azhar KUIS serta ekspedisi Bukit Broga di Hulu Langat, Selangor.

Selain itu, kumpulan pelajar turut menyertai ziarah ke Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam serta persembahan kreatif di Malam Kebudayaan Malaysia-Indonesia.

=EZY=