Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naib Presiden ABIM juara Penulisan Muda Kemanusiaan 2016

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menjuarai Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan 2016 bertemakan ‘The Power of Humanity.’

Beliau yang juga aktivis Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) memenangi tempat pertama dalam kategori bukan wartawan (Bahasa Melayu).

Serahan dibuat Timbalan Ketua Delegasi Serantau ICRC, Claire Servoin di Wisma UOA, Kuala Lumpur.

abimPemenang tempat pertama menerima peralatan elektronik bernilai RM1,500 manakala pemenang tempat kedua bakal membawa pulang peralatan elektronik bernilai RM1,000.

Pertandingan itu dilancar pada 8 Mei lalu sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dianjur ICRC dan Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Panel hakim yang terdiri daripada ahli akademik, pengamal dan pakar dalam bidang komunikasi, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hal ehwal kemanusiaan memilih enam pemenang yang menunjukkan pemahaman asas yang amat baik berkaitan isu dan cabaran kemanusiaan.

Terdahulu, pada 2015, artikel tulisan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria (MLLFS), Syahrir Azfar Saleh (Syahrir Azfar Al-Halabi), ‘Allah, Suriah, Hurriyah Bas’ yang tersiar dalam Sinar Harian memenangi tempat kedua dalam pertandingan sama.

-NFN-