Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah wakaf: Ada pihak ambil untung atas angin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Hanya 26 peratus tanah wakaf di Selangor boleh dibangunkan untuk projek pembangunan, setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang.

Beliau berkata, tujuh projek pembangunan di Klang yang terdiri daripada lima projek melalui anak syarikat PWS dan dua lagi melalui kerjasama pemaju luar.

“Manakala, 45.9 peratus tanah wakaf bagi niat khas iaitu pembinaan surau, masjid dan sekolah. “Selain itu, 14 peratus dikenal pasti tidak dapat dimanfaatkan kerana terlalu kecil dan tidak strategik.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Selebihnya merupakan tanah yang memerlukan pecahan sempadan,” katanya ketika ditemui di taklimat Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar berkata, PWS kini dalam usaha menyelesaikan masalah tanah wakaf yang disalah guna sehingga mengambil keuntungan atas angin oleh beberapa pihak.

Katanya, beberapa siri perbincangan diadakan bagi mewujudkan perjanjian baru supaya masalah itu tidak lagi berlaku.

“PWS menyelesaikan perkara ini secara berhemah kerana ia membabitkan tanah wakaf. Namun, ada beberapa pihak menyalahgunakan tanah ini demi kepentingan diri sendiri.

“Kita akan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan beberapa siri perbincangan diadakan dan masih berjalan,” katanya.

Tahun lalu, PWS merintis usaha membangunkan projek perumahan di atas tapak tanah yang diwakafkan di Seksyen 30, di sini, sejak 1972.

Projek tanah wakaf yang dibangunkan hanya lima peratus daripada 700 lot tanah yang diperuntukkan untuk dibuat masjid, surau, sekolah dan pusat tahfiz.

-NFN-