Categories
NASIONAL

Rundingan kerjasama PAS masih berjalan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 DIS: Rundingan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PAS masih berjalan bagi mencari formula terbaik bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan itu diteruskan hingga mencapai satu peringkat jangka masa tertentu diputuskan nanti.

“Rundingan (dengan PAS) dimulakan sebelum kita mengadakan perbincangan menandatangani perjanjian petang ini dan saya juga maklumkan kepada semua barisan kepimpinan Pakatan.

“Oleh sebab rundingan itu sudah bermula, sekarang kita akan meneruskan rundingan yang kita mulakan itu hingga ke satu peringkat masa,” kata Muhyiddin.

mou-pakatan1Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Kerangka Kerjasama Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu Malaysia di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini, petang tadi.

Sebelum itu, perjanjian kerjasama Pakatan Harapan bersama Bersatu ditandatangani bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 nanti.

Perjanjian itu ditandatangani pucuk pimpinan parti komponen Pakatan terdiri daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, manakala Bersatu pula diwakili Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun perjanjian dimeterai itu bertujuan untuk memastikan matlamat satu lawan satu tercapai, namun satu lagi parti bekas ahli gabungan Pakatan Rakyat, PAS belum menyertai perjanjian itu.

=EZY=