Categories
AGENSI SELANGOR

Wakaf Selangor sumbang alat perubatan kepada empat hospital

SHAH ALAM, 18 Julai: Perbandaran Wakaf Selangor menyumbang 55 kerusi roda dan 10 tilam angin (ripple mattress) kepada empat hospital di negeri ini kelmarin sebagai sokongan kepada petugas barisan depan dalam menangani Covid-19.

Menerusi perkongsian di Facebook Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memaklumkan anak syarikatnya itu memberi peralatan perubatan menerusi inisiatif bantuan fisabilillah dari wakaf tunai dan wakaf warga kerjanya.

“Keseluruhan barangan telah diserahkan, ia merangkumi Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Tanjung Karang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam masing-masing menerima 15 kerusi roda.

“Manakala Hospital Kuala Kubu Bharu pula 10 kerusi roda serta 10 tilam angin,” katanya.

Wakaf Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua pewakaf di agensi itu dan berharap lebih ramai pihak melakukan jariah berkenaan bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu.

Sumbangan wakaf boleh dibuat melalui Wakaf Selangor Online dengan melayari https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp dan mendaftar melalui Portal User atau boleh berwakaf melalui aplikasi Tulus dan SnapNPay.

Categories
AGENSI SELANGOR

Wakaf Selangor, MBI tentukan pelaburan sesuai dana RM50 juta

SHAH ALAM, 14 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor sedia berbincang dengan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) untuk menguruskan dana RM50 juta menerusi Pelaburan Waaqaf yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga semalam.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pihaknya berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di atas pengumuman peruntukan berkenaan dan bersedia untuk memenuhi hasrat Kerajaan Negeri.

“Kami menyambut baik dan berterima kasih di atas pembentangan inisiatif semalam. InsyaAllah kita sedia berbincang dengan MBI dalam masa terdekat untuk menentukan proses dan pelaksanaannya demi kebaikan umat Islam di Selangor,” kata Dato’ Mohammad Yacob ketika dihubungi SelangorKini.

Inisiatif Pelaburan Waaqaf berjumlah RM50 juta itu bertujuan mengatasi kemiskinan bandar, selain mengurangkan beban kos sara hidup atau menghapuskan hutang isi rumah.

Amirudin dalam ucapannya berkata hasil pelaburan patuh syariah itu akan diagihkan kepada golongan sasar.

Pelan pemulihan pasca Covid-19 itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani impak wabak itu.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Categories
AGAMA SELANGOR

25 masjid baru dibina, usaha popular konsep wakaf dipuji Sultan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 25 buah masjid baru yang telah dan bakal dibina di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mencerminkan dasar kepedulian rakyat ditekankan Kerajaan Negeri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda turut berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri mempopularkan konsep wakaf bagi pembinaan masjid dan surau seiring dengan hala tuju dan matlamat Perbadanan Wakaf Selangor.

“Sebagai sebuah negeri yang menekankan prinsip kepedulian rakyat, Beta amat berkenan dengan usaha dan inisiatif dilakukan oleh Dato’ Menteri Besar, terhadap usaha meningkatkan kualiti dan prasarana masjid dan surau di Selangor.

“Selain pembinaan masjid atau surau dengan menggunakan peruntukan kerajaan, kini Selangor telah dapat melihat beberapa buah masjid dapat dibina dengan peruntukan 100 peratus dana wakaf atau sebahagiannya dana wakaf dan sebahagiannya peruntukan Kerajaan Negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Baginda turut menekankan pembinaan institusi keluarga yang mana memberi kesan besar terhadap pembangunan masyarakat.

Titah baginda, kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, para ilmuan dan pertubuhan yang sentiasa berazam mencari penyelesaian terhadap sebarang isu dalam masyarakat haruslah dipuji.

Categories
AGAMA SELANGOR

RM204 juta Wakaf Selangor, salur pembangunan ekonomi Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjaya mungumpul dana wakaf tunai berjumlah RM204 juta sejak ia mula ditubuhkan, Januari 2011 lalu.

Pengerusinya, Dato’ Setia Ramli Mahmud berkata, perbelanjaan wakaf itu digunakan bagi tujuan pembangunan komuniti masyarakat Islam seluruh negeri.

“PWS berjaya mengumpulkan dana wakaf tunai berjumlah RM204 juta dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Badan-Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri dan Swasta.

“Sehingga kini, sebahagian dana itu disalurkan untuk pembinaan lapan masjid, 21 surau, empat institusi pembangunan pendidikan di Selangor.

Perbadanan Wakaf Selangor“Dana wakaf ini juga digunakan bagi membiayai pembelian wakaf Al-Quran serta buku-buku rujukan Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Terdahulu, PWS ditubuhkan bagi meningkatkan keperluan dalam pengurusan harta wakaf dan membudayakan amalan wakaf untuk membangunkan ekonomi ummah secara berkesan berpandukan hukum syarak.

RamliFungsinya turut memberi nasihat kepada Majlis berkenaan dengan dasar, cara, langkah yang perlu dilaksanakan dan diambil untuk menggalakkan pembangunan harta dan produk wakaf.

Ia turut melaksanakan dan memberi kesan kepada apa-apa dasar, arahan atau perintah Majlis berkenaan dengan pembangunan harta dan produk wakaf.

Selain itu, PWS turut berperanan menjalankan pengendalian serta penyelenggaraan harta wakaf termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat dan alat di kawasan harta wakaf masyarakat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kukuh integriti, Wakaf Selangor tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT : Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) komited memperkukuh nilai integriti pentadbirannya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan kakitangannya.

Pengerusi PWS, Dato’ Setia Ramli Mahmud berkata, komitmen itu seiring hasrat perbadanan itu untuk menjalankan tanggungjawab secara amanah tanpa berlakunya budaya rasuah dalam pentadbirannya.

“Inisiatif ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman PWS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah ini.

IMG_20170906_120616“Kita perlu ada kesedaran dalam diri masing-masing untuk mengatakan tidak kepada perkara yang tidak betul dalam segala tindakan kita.

“Ia menjadi matlamat PWS untuk terus bergerak maju menjadi sebuah institusi pembangunan wakaf berintegriti dan amanah dalam membangunkan harta wakaf di Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Majlis lafaz dan menandatangani ikrar melibatkan Pengurusan Tertinggi PWS, warga kerja serta anak syarikat perbadanan itu, Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Dato’ Mohamad Yacob.

Lafaz ikrar turut disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah melibatkan lebih 100 warga kerja perbadanan itu.

SPRMPada majlis sama, Jabatan Audit Negara (JAN) cawangan Selangor turut menganugerahkan Sijil Audit Bersih kepada Penyata Kewangan PWS yang disampaikan Timbalan Pengarah Audit Selangor, Rokiah Sahat.

Terdahulu, IBR mula dilaksanakan sebagai inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan individu yang menandatangani ikrar itu lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas secara telus.

Sebanyak 90 pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan dan institut pendidikan tinggi di Selangor sudah menandatangani lafaz ikrar IBR sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah wakaf: Ada pihak ambil untung atas angin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Hanya 26 peratus tanah wakaf di Selangor boleh dibangunkan untuk projek pembangunan, setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang.

Beliau berkata, tujuh projek pembangunan di Klang yang terdiri daripada lima projek melalui anak syarikat PWS dan dua lagi melalui kerjasama pemaju luar.

“Manakala, 45.9 peratus tanah wakaf bagi niat khas iaitu pembinaan surau, masjid dan sekolah. “Selain itu, 14 peratus dikenal pasti tidak dapat dimanfaatkan kerana terlalu kecil dan tidak strategik.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Selebihnya merupakan tanah yang memerlukan pecahan sempadan,” katanya ketika ditemui di taklimat Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar berkata, PWS kini dalam usaha menyelesaikan masalah tanah wakaf yang disalah guna sehingga mengambil keuntungan atas angin oleh beberapa pihak.

Katanya, beberapa siri perbincangan diadakan bagi mewujudkan perjanjian baru supaya masalah itu tidak lagi berlaku.

“PWS menyelesaikan perkara ini secara berhemah kerana ia membabitkan tanah wakaf. Namun, ada beberapa pihak menyalahgunakan tanah ini demi kepentingan diri sendiri.

“Kita akan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan beberapa siri perbincangan diadakan dan masih berjalan,” katanya.

Tahun lalu, PWS merintis usaha membangunkan projek perumahan di atas tapak tanah yang diwakafkan di Seksyen 30, di sini, sejak 1972.

Projek tanah wakaf yang dibangunkan hanya lima peratus daripada 700 lot tanah yang diperuntukkan untuk dibuat masjid, surau, sekolah dan pusat tahfiz.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PWS sumbang dana bina semula Masjid Nurul Falah

SABAK BERNAM, 28 MEI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyumbang dana wakaf sebanyak RM2 juta bagi pembinaan semula Masjid Nurul Falah Parit 12 di sini

PWS melaksanakan kerja itu melalui pemaju dilantik iaitu Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik sepenuhnya PWS.

Perbadanan Wakaf SelangorProjek pembinaan semula itu bermula pada 20 Ogos 2015 dan siap sepenuhnya pada 19 Mei 2016.

Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang berkata, PWS komited menyalurkan sumbangan disumbang melalui Skim Infaq Potongan Gaji, potongan secara online dan lain-lain saluran.

“Kita kekurangan dana untuk membangunkan tanah wakaf sedia ada. Dengan wakaf tunai adalah lebih ringan dan mudah untuk diuruskan.

“Sumbangan seperti ini diharap menyuntik semangat orang ramai berwakaf dan disalurkan kepada projek wakaf dilaksanakan kelak,” katanya.

Jumlah kutipan Saham Wakaf Selangor (Wakaf Khas) bagi 2015 sebanyak RM25,325,047.61.

Manakala Kutipan Saham Wakaf Am Selangor bagi 2015 sebanyak RM7,033,971.00 termasuk ibu pejabat, daerah, potongan gaji, ejen, sahabat korporat danpelbagai.

Para penyumbang dana ini layak mendapat pengecualian cukai 7 peratus dari
pendapatan agregat individu dan 10 peratus bagi korporat.
PWS adalah sebuah institusi ditubuhkan dibawah Majlis Agama Islam Selangor dan atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor agar pengurusan wakaf dapat diperkasakan seperti pengurusan zakat.

PWS beroperasi pada Mei 2011 dan dikawal selia dibawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor), Enakmen Wakaf Negeri Selangor dan Perintah Perbadanan Wakaf Selangor.

Sebagai anak syarikat yang ditubuhkan, PWS diberi kuasa untuk mentadbir, mengurus, membina dan memajukan hartanah wakaf di Selangor.

Secara umum, PWS menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan individu seperti Skim Infaq Potongan Gaji, Auto-debit Maybank, Cimb Clicks dan kaunter-kaunter bank.

Manakala korporat boleh membuat melalui produk sahabat korporat. PWS juga mempunyai pelbagai produk ditawarkan antaranya Wakaf Emas, Wakaf Seni,Wakaf Ilmu, Wasiat Wakaf dan lain-lain lagi.

EZY