Categories
NASIONAL

Universiti perlu bebas cengkaman kleptokrat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 DIS : Halangan dan hukumun dikenakan terhadap mahasiswa, aktivis politik, kartunis dan Ahli Parlimen Pembangkang untuk mengkritik pentadbiran Kerajaan memperlihatkan demokrasi di Malaysia semakin terhakis.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata demikian merujuk kepada tindakan dikenakan ke atas mahasiswa Universiti Malaya (UM) susulan penganjuran demostrasi himpunan tangkap ‘Malaysian Official 1’.

“Universiti Malaya (perlu) serta merta menarik balik tindakan yang dikenakan terhadap mahasiswa #Malaya4.

“Jelas tiadanya panel bebas dalam prosiding melibatkan mahasiswa yang kesemuanya dilihat menjadi pak turut UMNO-BN.

izzah“Di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini jelas kelihatan mahasiswa daripada pelbagai kampus secara jelas berpartisipasi dalam parti politik.

“Adakah mereka tidak dikenakan tindakan kerana menghadiahkan puji-pujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?” soalnya dalam kenyataan.

Lembaga Disiplin UM memutuskan Anis Syafiqah dan tiga lagi aktivis mahasiswa bersalah susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan “Tangkap MO1” di Kuala Lumpur, pada Ogos.

Nurul Izzah berkata, tindakan tersebut jelas membuktikan wujudnya pendakwaan terpilih dalam kalangan inidividu yang lantang mengkritik kerajaan.

“Tuntas, kelaziman pihak pentadbiran universiti berterusan menghakis kebebasan akademik harus dihentikan serta merta.

“Utamakan urus tadbir mengangkat nilai aktivisme dan intelektual murni seperti motto KPT #SoaringUpwards, dan bukannya bertindak cetek rasional dengan mengambil tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.

-nR-