Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah: Teladani perjuangan Rasulallah lawan kezaliman, penyelewengan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 DIS : Perjuangan Rasulallah, Nabi Muhammad S.A.W melawan kezaliman perlu menjadi rujukan terbaik masyarakat Malaysia menentang pentadbiran korupsi dan penyelewengan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat Malaysia berdepan cabaran getir akibat budaya rasuah dan penyelewengan diamalkan kerajaan.

Beliau berkata, keadaan lebih merumitkan apabila rakyat terus ditindas dan dizalimi dalam keadaan ruang ekonomi memuncak menekan rakyat.

wan-azizah“Perjuangan panjang Muhammad s.a.w dipenuhi pelbagai cabaran menuntut pelbagai pengorbanan.

“Namun begitu, baginda menghadapi semua itu dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan.

“Sebagai umat Muhammad menjadi tanggungjawab kita menegakkan keadilan serta menentang kezaliman, sepertimana risalah dibawa junjungan besar kita Muhammad s.a.w yang menjanjikan rahmat dan kesejahteraan seluruh alam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya sempena Perutusan Maulidur Rasul 1438 Hijrah, hari ini.

Terdahulu, pentadbiran Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa terpalit dengan salah guna kuasa dan penyelewengan kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dilaporkan turut menerima sejumlah wang dari luar dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya serta dikaitkan sebagai individu yang dinamakan sebagai Mo1 (Malaysian Official One).

-nR-