Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia meningkat sedikit

SINGAPURA 18 JAN: Niaga hadapan minyak mentah meningkat sedikit pagi ini dengan kelemahan dolar yang menjejaskan pasarannya.

Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh jangkaan bahawa pengeluar minyak Amerika Syarikat (AS) akan menambah pengeluaran, lapor REUTERS.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok tiga cents pada AS$52.51 menjelang 0058 GMT.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak pula meningkat AS$55.51 setong.

Dolar hampir ke paras terendah dalam enam minggu berbanding sekumpulan mata wang selepas bakal Presiden, Donald Trump berkata mata wang yang kukuh menjejaskan daya saing AS.

Dolar lebih lemah menjadikan minyak mentah dalam harga mata wang itu lebih murah bagi pengguna mata wang lain.

“Gabungan dolar AS yang lemah dan kenyataan menyokong daripada Arab Saudi menyaksikan harga minyak mentah meningkat,” kata ANZ dalam satu nota kepada pelanggan.

Minyak menarik sokongan daripada pengeksport minyak mentah terbesar, Arab Saudi yang berkata ia akan mematuhi komitmen untuk mengurangkan output di bawah perjanjian antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain.

=EZY=