Categories
PBT SELANGOR

JKKN sedia bantu PBT kembangkan teater bangsawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedia membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menganjurkan persembahan teater bangsawan seperti mana dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Pengarah teater dan Jurulatih Seni Budaya JKKN, Adira Wahinnur, berkata ini berikutan persembahan bangsawan merupakan salah satu cabang kesenian dan kebudayaan yang wajar diberi perhatian oleh masyarakat moden hari ini.

“Pihak kami sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak di Selangor untuk adakan satu pementasan bangsawan seperti yang kita adakan.

“Langkah diambil MPAJ misalnya, diharap membuka jalan untuk pementasan bangsawan lain diadakan di Selangor termasuk anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas berakhirnya pementasan bangsawan ‘Antabrata’ di Dewan MPAJ di sini, semalam.

Menyentuh pementasan Antabrata, beliau yang merupakan penulis skrip dan pengarah pementasan terbabit memberitahu terkejut apabila menyaksikan mutu lakonan dan penghayatan para pelakon yang rata-rata terdiri daripada kakitangan MPAJ sendiri.

“Saya tidak teragak-agak mengambil mereka sekiranya mereka ingin mengembangkan bakat lakonan dalam bangsawan kerana saya lihat bakat mereka boleh diasah,” katanya lagi.

Selain mutu lakonan beliau turut berbangga dengan komitmen diberikan pelakon walaupun terpaksa berlatih lebih sebulan untuk menjayakan persembahan selama dua jam itu.

“Paling menggembirakan saya kerjasama semua pihak khususnya Yang Dipertua (YDP) sendiri yang turut sama mahu berlakon menjayakannya yang tentulah memberi teladan baik kepada warga kerja MPAJ keseluruhannya,” katanya.

=EZY=