Categories
GEN-S SELANGOR

Ladang Smart Selangor jana pendapatan hasil tani negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JAN: Program Ladang Smart Selangor terus dilaksanakan sebagai komitmen Kerajaan Negeri menggalakkan hasil pengeluaran pertanian negeri.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Permodenan dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, program itu menekankan konsep penggunaan teknologi tinggi bagi menjana perolehan pengeluaran pertanian pada kadar maksima.

“Untuk tempoh ini tiga kawasan sudah dikenalpasti dan berpotensi untuk dibangunkan secara konsisten.

“Program ini mengetengahkan konsep pengamalan teknologi tinggi fertigasi dan banyak lagi.

“Kita harap projek ini berjaya dan mampu membantu lebih ramai petani dan masyarakat menjana pendapatan serta mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya kepada Selangorkini.

Zaidy berkata, pembangunan projek ladang tersebut turut mensasarkan penglibatan usahawan tani belia di bawah paras umur 40 tahun.

Namun katanya, jumlah itu terbuka kepada pemberian kuota 30 peratus kepada belia berminat di bawah program pembangunan petanian negeri itu.

“Pembangunan ladang ini melibatkan sejumlah keluasan tanah melebihi lima ekar yang mana ia juga disertai usahawan tani pernah menyertai program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS),” katanya.

=EZY=