Categories
SELANGOR

Mangsa letupan bunga api puji kepedulian MPK

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Mangsa insiden letupan bunga api yang membabitkan Fiesta Gegar Klang baru-baru ini memuji usaha Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang prihatin dan bertanggungjawab dalam kejadian terbabit.

Mohamad Zakaria Mamat, 22, berkata, tindakan proaktif MPK membantu mangsa-mangsa insiden itu wajar dipuji.

Katanya, beliau berpuas hati dengan sikap bertanggungjawab MPK yang membawanya ke klinik setiap hari bagi menjalani rawatan susulan.

“Saya pasrah dengan insiden ini dan saya memahami perkara ini bukan disengajakan. Walaupun saya mengalami kecederaan di kaki paling kritikal bagi semua mangsa lain, tetapi saya tidak menyalahkan MPK atas kejadian yang menimpa saya,” katanya kepada SelangorKini.

Mengimbau kembali kejadian malam Tahun Baru itu, Zakaria berkata ketika itu sedang berbual bersama sepupunya dan panik apabila melihat orang ramai bertempiaran lari.

“Kami panik dan turut berlari sama. Apabila saya pusing belakang, nampak api. Saya tidak sempat untuk mengelak dan api itu terus meletup di kaki saya. Saya tidak menyangka kaki saya melecur teruk,” katanya yang masih belum pulih dan tidak dibenarkan untuk bekerja.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, MPK memandang serius insiden yang berlaku itu.

Katanya, seramai 17 mangsa dihantar ke klinik atau hospital bagi menjalani rawatan setiap hari oleh MPK.

“Atas arahan Yang DiPertua, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, kita menubuhan pasukan prihatin dan menyegerakan semua urusan bantuan dengan sebaik mungkin.

“Mangsa turut diberikan sumbangan bagi meringan beban ekoran kejadian itu. MPK memandang serius insiden ini dan berharap pasukan ini dapat memberi perhatian kepada mangsa.

“Sehingga kini, mangsa dirawat dan dikunjungi MPK berpuas hati dengan tindakan MPK ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun MPK tidak menganjurkan pertunjukan bunga api itu tetapi atas dasar keprihatinan, MPK mengarahkan pasukan ini mencari mangsa yang terbabit.

Dalam sambutan itu, orang ramai bertempiaran lari apabila bunga api itu meletup sebelum ia berada di udara.

-nR-