Categories
SELANGOR

UNISEL komited terajui tranformasi pendidikan negara

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 9 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usahanya menerajui transformasi pendidikan negara.

Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, UNISEL antara lain mengambil langkah mengoptimumkan sumber tenaga serta baik pulih infrastruktur di kedua-dua kampus.

Katanya, keutamaan dari segi hubungan di antara pihak luar juga turut dititik-beratkan.

unisel-prof-redzuan“Pelbagai program kemasyarakatan dilakukan menerusi program cakna bagi memastikan UNISEL menjadi pusat pendidikan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Program ke Jepun, Korea, Indonesia dan Kazakhstan merupakan pendekatan diambil bagi mengimarahkan Program Pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar.

“Kunjungan hormat kepada Dato’ Menteri Besar, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Canselor serta Pro Canselor merupakan pendekatan awal diambil bagi meningkatkan imej UNISEL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Presiden dan Naib Canselor UNISEL 2017 di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Redzuan berkata, UNISEL juga bakal meneruskan kebitaraan pendidikan dengan penubuhan Selangor Business School yang akan beroperasi di Menara PKNS, Petaling Jaya.

“Ia bakal menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan tuntutan korporat, perniagaan, industri dan sektor awam,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman kenaikan gaji kaki tangan UNISEL berkuatkuasa Januari 2017, selepas lima tahun tiada kenaikan.

-nR-