Categories
SELANGOR

MDKL PBT pertama Selangor diiktiraf SAGA

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 12 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terus cemerlang apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama Selangor menerima pengiktirafan ‘Standard Accounting System for Government Agencies’ (SAGA).

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, kejayaan itu juga menjadikan MDKL sebagai PBT kedua di Malaysia mendapat Sijil Pematuhan SAGA daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) itu.

Katanya, ia membuktikan pengurusan kewangan MDKL berintegriti selaras dengan objektif SAGA.

MDKL“Usaha bagi melengkapkan keperluan dalam pematuhan pelaksanaan SAGA mengikut syarat ditetapkan sejak 2014
ternyata membuahkan hasil amat positif.

“Lebih membanggakan MDKL menjadi salah satu daripada dua PBT seluruh negara yang terlibat dan layak menerima penganugerahan SAGA ini,” katanya.

Pada 14 November lalu, Mohd Azhar menerima pengiktirafan berkenaan dalam satu majlis disempurnakan Akauntan Negara, Dato’ Che Pee Samsudin, di sebuah hotel di Ipoh, Perak.

Mohd Azhar berkata, kejayaan itu didorong komitmen tinggi pasukan pengurusan kewangan MDKL yang mantap dan berwibawa.

“Saya amat berterima kasih atas komitmen tinggi ditunjukkan pegawai dan kakitangan MDKL untuk pengiktirafan membanggakan ini,” katanya.

SAGA diwujudkan untuk memastikan agensi kerajaan mematuhi peraturan kewangan selaras pemakaian Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 2 Tahun 2015.

Terdahulu, seramai enam panel penilai dari Jawatankuasa Pematuhan SAGA membuat lawatan bagi menilai Sistem Perakaunan dan Kewangan MDKL iaitu Century Financial System 8.0.

Hasil penilaian mendapati ia memenuhi semua kriteria ditetapkan JANM dan diiktiraf tanpa bersyarat.

Sebelum ini, MDKL turut mengekalkan perakuan Sijil Bersih tanpa teguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Pengauditan Terhadap Penyata Kewangan tahun 2015 buat kali kesembilan berturut-turut.

-nR-