Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Laporan kes bunga api dibawa ke MMKN

OLEH AFIX REDZUAN

PELABUHAN KLANG, 15 JAN: Kerajaan Negeri akan meneiliti syor yang dikemukakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung kejadian letupan bunga api pada malam ambang tahun baru di Kompleks Pandamaran.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, laporan itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada 18 Januari ini.

“Kita akan membentangkan dalam MMKN dan meneliti laporan sebelum memaklumkan semula kepada MPK tindakan yang wajar diambil,” katanya.

MB Pulau Indah (1)Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan siasatan letupan bunga api yang mengakibatkan 14 pengunjung cedera.

Mohamed Azmin berkata, siasatan itu bukan menjurus kepada individu sahaja, bahkan secara menyeluruh selain mencari jalan supaya perkara itu tidak berulang.

Terdahulu Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan dalaman itu dan hanya menunggu Mohamed Azmin membuat tindakan selanjutnya berhubung perkara itu.

Dalam insiden jam 12.05 tengah malam itu, 14 cedera termasuk kanak-kanak apabila bunga api yang dipasang bagi meraikan kedatangan tahun baru menuju ke arah penonton dan meletup.

Pertunjukan bunga api itu diadakan sempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung dari 30 Disember sehingga 1 Januari lalu.

-NFN-