Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Peduli rakyat kekal teratas, Skim Peduli Sihat pembelaan berterusan

OLEH HAFIZAN TAIB

KEPEDULIAN Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi Skim Peduli Rakyat demi memastikan golongan sasaran mendapat pembelaan seterusnya peningkatan tahap kesihatan warga Selangor secara keseluruhan.

Belanjawan 2017 bertemakan ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada Oktober tahun lalu jelas menggambarkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat daripada kumpulan berpendapatan rendah menikmati kemudahan kesihatan percuma.

Pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM125 juta setahun diwujudkan bertujuan memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma untuk 250,000 keluarga atau sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Ia adalah kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok paling tertekan berikutan kenaikan kos sara hidup.

Sesuai dengan cadangan WHO

Penyediaan skim itu juga bersesuaian dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peduli SihatNamun, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus daripada KDNK berbanding negara lain seperti Cuba (11.1 peratus), Brazil (8.3 peratus), Vietnam (7.1 peratus) dan Thailand (6.4 peratus), pada 2014.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti.

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa,” kata Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2017 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 31 Otober 2016.

 

Skim Peduli Sihat hanya di Selangor

Skim Peduli Sihat dilancarkan Kerajaan Negeri secara rasmi oleh Mohamed Azmin pada 24 Januari lalu dan tidak terdapat di negeri lain kecuali Selangor.

Dengan kemudahan perkhidmatan percuma secara meluas, skim diperkenalkan bermatlamat supaya warga Selangor sentiasa dalam keadaan sihat dan produktif serta sebagai galakan supaya rakyat sentiasa ambil peduli dengan kesihatan masing-masing.

Skim Peduli Sihat diuruskan Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator itu akan membiayai rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

Peduli SihatMereka yang dilahirkan atau menetap lebih 10 tahun di Selangor layak mendapatkan rawatan di 1,000 klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat yang membolehkan pemegang akaun utama serta tanggungan, isteri juga anak di bawah 21 tahun menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan ditetapkan.

Caj selaras yuran MMA

Klinik berdaftar dengan Skim Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran ditetapkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Di bawah skim itu juga disediakan program Dialisis Rakyat dengan Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan dari RM1.7 juta setahun kepada RM5 juta, bermula tahun ini.

Ia berikutan kos rawatan dialisis amat membebankan pesakit kerana mereka tidak mampu bekerja menampung kos sara hidup keluarga.

National Renal Transplant Registry 2014 melaporkan terdapat 6,890 pesakit dialisis di Selangor dan kelazimannya setiap pesakit perlu menjalani rawatan 13 kali sebulan membabitkan kos hampir RM3,000 sebulan.

Sehingga 24 Oktober lalu, kira-kira 504 pesakit sudah menerima manfaat program ini dengan kos RM1.45 juta ditanggung Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan program Intervensi Awal (Early Intervention Programme) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas dalam hasrat mewujudkan masyarakat penyayang dengan peruntukan RM3 juta.

Orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut berkenaan Skim Peduli Sihat dengan melayari laman sesawang: www.pedulisihat.com atau menghubungi talian 03-20893911 serta memuat turun borang : borang_peduli_sihat_v1

-NFN-