Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kesihatan dan kualiti hidup rakyat jadi keutamaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

RAWANG, 17 OGOS: Kerajaan Selangor terus komited dalam memastikan tahap kesihatan dan kualiti hidup rakyat terus terjamin.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keprihatinan itu dibuktikan menerusi beberapa siri kejayaan pelaksanaan program kesihatan untuk rakyat, misalnya Skim Peduli Sihat.

“Program ini bahkan telah menjadi contoh dan model kepada Kerajaan Persekutuan serta negeri yang lain.

“Pencapaian ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Hospital SELGATE Rawang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM22 juta bagi penjagaan kesihatan asas rakyat.

Katanya, ia merupakan suatu jumlah yang cukup signifikan untuk membuktikan Kerajaan Negeri komited dengan program bantuan kepada rakyat.

“Setakat Ogos 2018, jumlah keahlian Skim Peduli Sihat mencecah sebanyak 342,396 keluarga.

“Jumlah ini menunjukkan seramai 1,369,584 juta rakyat mendapat manfaat daripada Skim Peduli Sihat berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, dengan purata saiz isi rumah adalah 4 orang.

“Daripada skim ini juga, sebanyak 1,131 Klinik General Practice (GP) telah mendaftar sebagai klinik panel khusus bagi program terbabit,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan kaji Skim Peduli Sihat Nasional

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 6 JUN: Mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini memutuskan beberapa perkara bagi melancarkan lagi urusan pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara keputusan penting dibuat pada mesyuarat kali ini adalah Kementerian Kesihatan akan mengkaji skim “peduli sihat nasional” dan insurans Takaful bagi golongan miskin.

Selain itu, Mahathir juga mengumumkan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar dan Akta GST dimansuhkan serta masa depan Majlis Penasihat Kerajan yang belum dimuktamadkan.

Perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat tadi adalah peletakkan jawatan Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara (BNM).

Isu lain dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet:

Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri akan memulakan tindakan susulan ke atas MH17.

– PM akan melengkapkan kabinetnya menjelang akhir minggu ini

– Kerajaan mengkaji semula Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

– Skim kawalan harga musim perayaan akan dilaksanakan mulai 8 hingga 22 Jun

– Kerajaan akan kaji semula pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan Singapura

– Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan

– Jawatankuasa meliputi pakar bukan kerajaan akan diwujud untuk tambah baik kurikulum pendidikan dari peringkat taska sehingga universiti

– Kerajaan berpendapat adalah baik jika tidak ada kapal perang ditempatkan di Selat Melaka, Laut China Selatan

– Syarat pinjaman bank yang ketat akan dikaji semula untuk membantu usahawan kecil

Categories
NASIONAL

Manifesto PRU PAKATAN: Skim Peduli Sihat diperluas seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Selangor bakal diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN) jika menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Tawaran itu adalah salah satu daripada ’10 Janji 100 Hari’ seperti diumumkan pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan yang bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, malam tadi.

Skim itu ditawarkan dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Sembilan janji lain yang ditawarkan dalam tempoh 100 hari pemerintahan PAKATAN adalah:

1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

2. Menstabilkan harga minyak dengan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

3. Menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka felda.

4. Memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

7. Menyiasat skandal dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan organisasi terbabit.

8. Mengembalikan status Sabah dan Sarawak dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

9. Kaji semula projek mega dengan melancarkan kajian terperinci berhubung projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat penjawat awam Selangor bantu lebih 10,000 penerima

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor bakal membantu lebih 10,000 penerima mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah, terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

“Melalui skim takaful kesihatan ini, setiap penjawat awam akan menerima manfaat had rawatan kesihatan sebanyak RM10,000 setahun bagi menampung kos ‘hospitalization’ selain daripada skop perlindungan yang meliputi manfaat kematian dan hilang upaya kekal.

“Kebajikan penjawat awam sentiasa dekat di hati saya. Sementara ada suara memberikan pandangan negatif terhadap perkhidmatan awam dan mahu ianya dikecilkan, saya mengambil pendirian yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada majis itu, beliau turut melancarkan Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor untuk penjawat awam dengan menyerahkan Kad Peduli Sihat kepada sepuluh wakil penerima.

Skim Peduli Sihat dilaksana Kerajaan Negeri melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), bertujuan meringankan beban kos sara hidup tinggi dengan peruntukan RM125 juta setahun.

Ia mensasarkan satu juta rakyat Selangor berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah bakal mendapat manfaat perlindungan kesihatan sekali gus menambah akses kepada rawatan kesihatan asas dan seterusnya meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat.

Pelaksanaan skim berkenaan membolehkan rakyat kurang berkemampuan menerima Kad Peduli Sihat bagi mendapatkan pembiayaan rawatan kesihatan asas di lebih 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pakatan azam perluas Skim Peduli Sihat Selangor ke Pahang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Pelaksanaan dasar berkebajikan Skim Peduli Sihat yang dilaksanakan di Selangor boleh diperluas ke seluruh negara jika Pakatan berjaya menerajui tampuk kepimpinan negeri yang dikuasai Umno Barisan Nasional.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor optimis inisiatif itu boleh dilaksanakan selepas Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan skim sama di negeri itu.

“Saya dimaklumkan, Pulau Pinang juga akan menggunakan pendekatan sama dengan melaksanakan Skim Peduli Sihat (menerusi penjenamaan) sebagai Sihat Penang.

“Kalau ditakdirkan kami menang, kami juga akan umumkan Sihat Pahang di Pahang,” katanya ketika berucap pada Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kampung Batu Kapur, Mentakab di sini, semalam.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat yang dilancarkan awal Januari lalu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bebanan kos rawatan kesihatan rakyat yang semakin tinggi.

Program terunggul di Malaysia yang mula diperkenalkan di Selangor itu merupakan program berimpak tinggi selari peruntukan dikhususkan pelaksanaannya, iaitu RM125 juta setahun.

Pada masa ini sebanyak 624 klinik panel berdaftar dengan skim berkenaan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat: Caj lebih, tamat khidmat klinik panel

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 869 klinik di seluruh Selangor dan Lembah Klang diluluskan sebagai klinik panel Skim Peduli Sihat, setakat 19 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri kini dalam proses meluluskan 93 klinik lain.

Katanya, tiada klinik yang ditamatkan khidmat panel, sehingga kini.

“Sementara itu, sebarang aduan lebihan caj diadukan orang ramai akan disiasat Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate).

“Terdapat beberapa proses aduan tertentu berkaitan pengenaan caj berlebihan yang harus diikuti oleh pihak klinik panel,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berhubung proses tindakan terhadap klinik mengenakan caj berlebihan.

Daroyah yang juga ADN Sementa berkata, proses berkenaan termasuk proses menerima aduan, proses penilaian aduan, siasatan dalaman dan siasatan rujukan klinik.

“Bagi proses akhir, Selgate mencadangkan kepada klinik tindakan yang harus diambil berdasarkan hasil siasatan aduan.

“Jika ia berlaku kali kedua, Selgate meletakkan klinik panel terbabit di dalam senarai perhatian berserta surat amaran.

“Jika masih berterusan, Selgate akan menggantung atau menamatkan kontraknya sebagai panel Skim Peduli Sihat,” katanya.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Skim Kesihatan Bersepadu perluas skop kesihatan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri rancak melaksanakan Skim Peduli Sihat sebagai satu skim perlindungan rawatan kesihatan asas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Perubatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, satu skim penjagaan kesihatan yang bersepadu (integrated healthcare scheme) dicadangkan untuk memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berdasarkan keperluan mendesak untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

“Antara penjagaan kesihatan dicadangkan adalah penjagaan kesihatan asas Peduli Sihat, rawatan jantung, suntikan vaksin pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

“Ia bermaksud, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM 44.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Kesihatan Bersepadu.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak 149,382 kad Peduli Sihat dikeluarkan untuk memberi manfaat kepada hampir 600,000 orang, sehingga 31 Oktober lalu.

“Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri bertekad meneruskan pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM20 juta dan pemegang kad adalah layak secara automatik mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma,” katanya.

“Sebagai tanda keprihatinan kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan one-off RM180 kepada semua pemegang Kad Peduli Sihat untuk mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal yang didapati di semua klinik yang mengambil bahagian, bahkan ia tidak akan ditolak daripada kelayakan Peduli Sihat.

“Ini bermakna kelayakan bagi pemegang Kad Peduli Sihat dinaikkan dari RM500 kepada RM700, bagi tahun 2018,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ramai cemburu Skim Peduli Sihat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 34,780 sudah berdaftar di bawah Kategori Khas untuk Skim Peduli Sihat, setakat 1 Ogos lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia meliputi golongan asnaf berdaftar di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak yatim, warga emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, ia diwujudkan bagi memudahkan kumpulan B40 termasuk warga emas dan anak yatim yang belum berkeluarga atau bekerja juga bersara menyertai skim dengan peruntukan RM125 juta itu.

“Rasa cemburu terhadap kejayaan pelaksanaan Skim Peduli Sihat terus membelenggu golongan yang tidak senang dengan usaha Kerajaan Negeri mengangkat kebajikan rakyat.

YB Daroyah“Tidak hairanlah jika Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan terbaru, Parti Gerakan tidak senang duduk dengan skim yang terus menerima sambutan menggalakkan ini,” katanya.

Sejak dilancarkan awal tahun ini, Kerajaan Negeri menerima 237,523 permohonan untuk menjadi peserta Skim Peduli Sihat.

Daroyah berkata, prosedur permohonan skim sama dan menyeluruh di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya boleh dibuat secara dalam talian serta perlu disahkan Ahli Dewan Negeri (ADN) atau Penyelaras DUN.

Katanya, jumlah keahlian rendah di DUN tertentu sama sekali tidak berhubung kait dengan dasar Kerajaan Negeri seperti didakwa Parti Gerakan.

“Persepsi bahawa sesetengah DUN diketepikan atau wakil rakyatnya tidak berfungsi dengan baik adalah tidak benar sama sekali kerana ADN juga Penyelaras DUN sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Beberapa DUN yang disebut memiliki keahlian sedikit itu berada di kawasan bandar dan besar kemungkinan pemohon tidak layak serta bukan tergolong dalam kumpulan B40,” katanya.

Terdahulu, Parti Gerakan menyerahkan memorandum menggesa Kerajaan Negeri menjelaskan keperluan mewujudkan Kategori Khas selain memohon penjelasan berkenaan pendaftaran rendah di beberapa DUN seperti Bukit Gasing dan Kampung Tunku.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Contohi Selangor berjaya laksana dasar berkebajikan bukan dengki

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 JULAI : Kejayaan negeri melaksanakan dasar berkebajikan membabitkan Inisiatif Skim Peduli Sihat menimbulkan ‘rasa kurang senang’ pihak tertentu, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata, manfaat skim berkenaan menyebabkan pimpinan Kerajaan Persekutuan mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak berasas terhadap pentadbiran negeri.

“Jangan dengki dengan Kejayaan Negeri kerana kita sudah melangkah jauh memperkenalkan skim kesihatan yang baik untuk rakyat.

“Apabila skim ini berjaya dilaksanakan, mereka mula timbulkan isu tanpa merujuk peranan sebenar Kerajaan Negeri dalam membantu Persekutuan menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Contohnya Skim Peduli Sihat sebagai dasar baru yang hanya diperkenalkan di Selangor dengan peruntukan RM125 juta kita dapat melihat bahawa rakyat sangat menghargainya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menganggap peranan menguruskan sistem dan dasar kesihatan rakyat bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

peduli-sihatKhaled dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan bertangunggjawab sepenuhnya menguruskan sistem kesihatan rakyat membabitkan fasiliti hospital dan klinik.

Bagaimanapun Dr Daroyah berkata, Selangor tampil dengan inisiatif baru mewujudkan Skim Peduli Sihat dengan menawarkan bantuan kewangan RM500 bagi keperluan kesihatan rakyat.

“Kita melaksanakan perkongsian pintar bersama seluruh klinik di Selangor tanpa bersaing dengan klinik swasta. Kita jalinkan kerjasama untuk bantu rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat diwujudkan sebagai penyediaan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga membabitkan sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peduli Sihat kini untuk anak OKU

OLEH NORHAYATI UMOR

KOTA DAMANSARA, 29 APRIL: Kanak-kanak kelainan upaya (OKU) termasuk autisme kini berpeluang menikmati skim rawatan asas Peduli Sihat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pihaknya akan meminta Selgate Corporation selaku ‘Third-Party Healthcare Administrator’ menyediakan senarai kanak-kanak istimewa yang layak.

Katanya, golongan terbaru yang menikmati Skim Peduli Sihat (SPS) itu layak menerima bantuan RM200 secara individu walaupun pendapatan keluarga melebihi syarat ditetapkan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Pengarah Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk menyediakan senarai kanak-kanak yang layak.

“Beliau (Ahmad Idham) mempunyai banyak kenalan daripada golongan ini yang boleh menyertai skim berkenaan,” katanya kepada SelangorKini sempena Karnival Mini Kesedaran Austism di Encorp Strand Mall, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2017-04-29 at 1.52.51 PMDaroyah berkata, SPS dibuka kepada kanak-kanak itu atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri juga tanda sokongan untuk golongan terbabit mendapat kehidupan lebih baik.

“Sebelum ini kita mempunyai program Si Kembar dan untuk program ini kita akan semak semula supaya ia bersesuaian dengan SPS,” katanya.

SPS dibuka kepada golongan B40 yang layak berpendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,000 ddengan 68,579 permohonan setakat ini.

Categories
SELANGOR

45 Klinik 1Malaysia vs 1,000 klinik Skim Peduli Sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan dinasihatkan supaya tidak terlalu jauh melencong dan segera ‘kembali’ ke Selangor ketika berbahas.

Nasihat itu diberikan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim apabila Halimaton mengambil masa panjang bercakap mengenai Klinik 1Malaysia.

“Klinik 1 Malaysia ada 45 klinik kalau nak dibahagikan untuk 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun masih tak cukup lagi tetapi kita sekarang di Selangor yang ada 1,000 klinik terlibat dengan Skim Peduli Sihat (SPS) Kerajaan Negeri.

“Inilah yang dikatakan hanya nampak semut di seberang tetapi gajah di depan mata tak nampak. Cukuplah, ‘pulanglah semula ke Selangor,” kata Chang Khim.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Halimaton yang sedang membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ADN wajar memberikan fokus ucapan masing-masing kepada titah ucapan DYMM Sultan Selangor ketika berbahas.

Saranan itu disambut baik Halimaton sambil menyatakan beliau terpaksa menjelaskan isu Klinik 1 Malaysia ekoran terdapat dakwaan Klinik 1 Malaysia sebagai ‘klinik panadol’.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Baru dilancarkan, Skim Peduli Sihat terima 68,579 permohonan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MAC: Baru beberapa bulan dilancarkan, Skim Peduli Sihat (SPS) berjaya menarik perhatian seramai 68,579 pemohon untuk menjadi peserta inisiatif terbaru Kerajaan Negeri untuk rakyat ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pada tempoh sama sebanyak 889 klinik turut memohon untuk menjadi klinik panel SPS apabila sebanyak 650 klinik menyerahkan dokumen lengkap dan diluluskan sebagai klinik panel.

“Jumlah kos rawatan digunakan oleh peserta SPS di panel klinik berdaftar pula adalah sebanyak RM21,525.30 dan jumlah pesakit yang terlibat adalah sebanyak 513 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab hari ketiga Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, mengikut pecahan kaum pula seramai 47,697 permohonan daripada kaum Melayu (69.55 peratus), 9,258 Cina (13.50 peratus), 11,477 India (16.74 peratus) dan 147 lain-lain (0.21 peratus).

Katanya, orang ramai juga boleh mendaftar permohonan SPS secara atas talian dengan sistem yang akan memastikan setiap permohonan turut disertakan dengan dokumen sokongan seperti kad pengenalan, slip gaji dan lain-lain dimuatnaik.

Katanya pemohon hendaklah merupakan warganegara Malaysia, lahir di Selangor atau sudah menetap di Selangor melebihi 10 tahun dan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,000 atau RM1,500 bagi kategori individu.

=EZY=