Categories
NASIONAL

Polisi Trump bawa kesan buruk dunia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JAN: Dasar luar diperkenal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat bakal melebarkan jurang di antara umat Islam dan bukan Islam.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, ia seterusnya menyemarakkan lagi sentimen pelampau (extremism) dalam bentuk radikal Islam seperti Islamic State (IS) dan Islamiphobia dalam kalangan bukan Islam.

Katanya, dasar itu juga diperhatikan negara Eropah serta dunia Barat yang sedang menyaksikan bangkitnya golongan haluan kanan.

“ABIM khuatir dasar luar Trump akan mula dicontohi serta diamalkan sekiranya golongan haluan kanan menguasai politik di beberapa negara seperti Perancis.

“Perdana Menteri Britain, Theresa May misalnya sudah mula mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mengkritik dasar terbaru Trump itu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Trump menandatangani 10 perintah eksekutif dan dikatakan akan menghentikan visa pelancong ke atas tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Raimi berkata, dasar Trump terhadap Islam itu turut memberi tempias kepada isu kritikal lain.

“Tindakan itu pastinya mempengaruhi bagaimana mereka menentukan dan berurusan dengan isu seperti Islam radikal, isu Israel-Palestin serta usaha pendamaian dalam kalangan negara Islam,” katanya.

=EZY=