Categories
SELANGOR

Prosiding persempadanan semula SPR, Selangor kemuka komposisi pengundi ‘luar biasa’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 20 JAN : Barisan Peguam mewakili Kerajaan Negeri bagi cabaran prosiding persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan jumlah komposisi penduduk sebagai hujahan balas mencabar cadangan dibuat SPR.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali berkata, perkara tersebut ditimbulkan susulan kegagalan SPR mewujudkan kesamarataan yang menyebabkan berlakunya jurang perbezaan komposisi kaum di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Selangor.

“Barisan peguam mengemukakan isu-isu perundangan yang dibentangkan di mahkamah berkait jumlah pengundi yang luar biasa yang diletakkan dalam sesebuah kawasan.

Azmin“Oleh kerana tidak ada pertimbangan dari segi hubungan komuniti sesebuah kawasan dan ia telah menjejaskan kuasa dan hak pengundi dan rakyat di Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, isu komposisi pengundi dan pecahan kaum menjadi teras hujahan utama barisan peguam untuk mencabar cadangan persempadan semula negeri dibuat SPR, September lalu.

Sebelum ini, cadangan persempadan baru SPR memperlihatkan jurang perbezaan besar komposisi pecahan kaum khususnya di kawasan Parlimen Klang dan Dun Seri Andalas.

Perubahan tersebut didakwa sebagai langkah untuk memecahkan undi komposisi kaum yang sekali gus bakal memberi kelebihan kepada parti lawan.

Justeru, Mohamed Azmin berkata perkara. tersebut memerlukan penelitian secara spesifik agar komposisi kaum di Selangor tidak mengalami perubahan besar bagi tujuan dan manfaat pihak tertentu.

“Kita berharap pihak mahkamah akan mengambil kira pandangan ini kerana kita tidak mahu syor yang dikemukakan SPR ini boleh memecahkan perpaduan rakyat Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir mendengar lanjutan prosiding cabaran persempadan semula SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong dan Teng Chang Khim.

Turut hadir, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Haniza Talha, Dr Halimah Ali, Shuhami Shafie, Mohd Haslin, Tiew Way Keng dan Saari Sungip.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memohon kepada pihak mahkamah membatalkan notis dan syor berhubung proses persempadan semula SPR.

Tindakan itu dibuat susulan pencabulan yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan apabila wujunya penafian komposisi kaum di setiap Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Selangor.

-nR-