Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Saudagar Muda tingkat imej Islam seantero dunia

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 14 JAN: Progam Saudagar Muda yang dirintiskan kepada pelajar Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Sukan Sofiuddin (KOMTAS), di sini, mampu meningkatkan imej Islam di mata dunia.

Pengasas Overbooked Media Group (OMG) Sdn Bhd, Khadijahtul Ismalasari berkata, program yang diasaskan badan itu bukan sahaja mendidik pelajar tahfiz dalam bidang kemahiran tetapi juga pengurusan.

“Ketika ini, Islam diuji dengan pelbagai cabaran antaranya Islamophobia daripada pelbagai pihak. Justeru, kami mahu mendidik pelajar ini daripada segi perniagaan, kemahiran dan intelek,” katanya kepada SelangorKini selepas merasmikan program itu di KOMTAS, di Kampung Delek, di sini, semalam.

IMG_20170113_200841_573Khadijahtul berkata, idea program terbabit tercetus apabila melihat pelajar Islam di Thailand yang mempunyai jati diri tinggi.

“Daripada segi pendidikan, mereka ketinggalan berbanding pelajar Malaysia, namun jati diri mereka tinggi berbanding pelajar di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, projek perintis itu akan dikembangkan dari semasa ke semasa di sekolah lain dan OMG akan menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah serta pakar dalam bidang berkenaan.

Antara bidang yang akan dipelajari pelajar tahfiz itu ialah perniagaan, pengurusan emosi, dandanan, reka bentuk dan bahasa Inggeris yang akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan.

Beliau berkata, pelajar turut boleh memasarkan produk mereka secara ‘offline’ dan atas talian melalui perniagaan.

“Kita merancang pelbagai strategi, sekali gus merancakkan taraf hidup mereka. Kami mahu pelajar mempelajari bagaimana untuk mencari wang tanpa mengharapkan bantuan mana-mana pihak,” katanya.

-NFN-