Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar & MB mahu tenaga pimpinan digembeling menangi PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Walaupun dipenjarakan namun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memikirkan untung nasib rakyat tertindas di bawah pentadbiran rejim Umno-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu dilihat apabila Anwar sempat membincangkan strategi terbaik bagi membebaskan negara daripada cengkaman Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke -14  nanti.

“Datuk Seri Anwar ada menyampaikan mesej berkenaan strategi dan banyak perkembangan baru dan hal lain yang kita bincangkan selain hal berkaitan saya menjadi saksi untuk kes beliau.

“Semua perkara dibincangkan tetapi yang penting kita kena bersatu (kerana) sudah tentu kita mahukan persediaan hadapi pilihan raya lebih tersusun,” kata Mohamed Azmin kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu hadir ke Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi memberikan keterangan berhubung kes saman fitnah yang dikemukakan Anwar terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Mohamed Azmin berkata Anwar turut menyentuh isu rakyat seperti masalah peneroka felda dan lain-lain yang memerlukan pembelaan.

=EZY=