Categories
SELANGOR

Kaedah baru jaya projek tanaman durian belanda Tanjung Sepat

OLEH HAFIZAN TAIB

TANJUNG SEPAT, 7 FEB: Projek penanaman durian belanda di DUN Tanjung Sepat diusahakan sejak 2013 diteruskan dengan kaedah baru bagi penghasilan buah lebih berkualiti dan baik.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berkata, melalui pendekatan baru itu, projek terbabit mampu memberikan pulangan hasil seperti mana diingini demi manfaat penduduk tempatan dan pihak berkaitan.

“Bagi tujuan itu, kita sudah mendapatkan pandangan dan bantuan pihak tertentu mengenai kaedah pendebungaan secara manual dan telah menunjukkan hasil seperti diingini apabila ia akan diperkenalkan kepada pengusaha tanaman.

“Tahun ini kita merancang melaksanakan di sebelah selatan Kuala Langat dan Sepang iaitu di kawasan sekitar dua ekar dikenal pasti di Bukit Bangkong atau Ulu Teris,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan baru itu diambil ekoran projek berjalan lebih dua tahun itu biarpun berjaya membuahkan hasil namun tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, dengan kaedah sesuai dikenal pasti maka projek itu digerakkan lebih aktif pada tahun ini dengana fokus kepada kuantiti, kualiti serta kesihatan pokok diusahakan.

“Pada tahun ini, kita juga merancang membuka sebuah lagi ladang dengan kerjasama pemilik tanah individu bersedia bagi menjayakan projek seterusnya.

“Selepas ini apabila berhasil, kita mungkin akan dapat memasarkannya dalam bentuk jus atau yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan projek perintis penanaman durian belanda itu yang bermula di Sungai Projek hasil cetusan anak muda tempatan sebagai salah satu usaha menbantu golongan berpendapatan rendah

Projek itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin di DUN itu bagi peningkatan ekonomi selain memupuk semangat berdikari di kalangan mereka khususnya anak muda.

=EZY=