Categories
RENCANA SELANGOR

Bantuan peralatan beri manfaat kepada majoriti nelayan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

TANJUNG SEPAT, 6 FEB: Pendekatan baru Kerajaan Negeri memberi bantuan berbentuk peralatan kepada golongan nelayan dan berkaitan banyak memberi manfaat kepada mereka.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kaedah dipraktikkan itu berhasil dengan kebanyakan mereka memperoleh bantuan disalurkan.

“Pendekatan baru kita laksanakan ini banyak mendapat pujian daripada penerima kerana ramai di antara mereka mendapat kemudahan dan manfaat.

Nelayan Sabak (2)“Sama seperti bantuan alat pengesan lokasi (GPS) bernilai antara RM1,000 ke RM2,000 yang diberikan ini ekoran ramai nelayan memerlukan dan ingin menggunakan tetapi tidak mampu, jadi mereka sangat berterima kasih,” katanya.

Zaidy menyerahkan bantuan berkenaan kepada 200 penerima dalam majlis Progran Penyerahan Bantuan Nelayan dan Akuakultur bagi daerah Kuala Langat dan Sepang yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada program bantuan diagihkan mengikut daerah di seluruh Selangor yang diserahkan kepada golongan berkaitan seperti petani dan nelayan termasuk usahawan akuakultur.

“Program ini berterusan dari tahun lalu dan pemilihan dibuat dengan kita berikan bantuan hingga tahun ini, manakala permohonan diterima bagi tahun ini sedang diproses.

“Tahun lalu, kita salurkan bantuan RM1.6 juta yang diagihkan mengikut daerah. Pada minggu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sendiri menyerahkan bantuan di Morib,” katanya.

-NFN-