Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah meningkat

SINGAPURA 27 FEB: Harga minyak mentah Brent menokok pagi ini berikutan lebihan minyak global kelihatan sudah mula reda, tetapi peningkatan pengeluaran Amerika Syarikat (AS) mengehadkan kenaikan.

REUTERS melaporkan Brent menokok 0.04 peratus kepada AS$56.01 satu tong, manakala West Texas Intermediate pula tidak berubah pada AS$53.99 satu tong.

Harga minyak jatuh Jumaat lalu selepas data Pentadbiran Tenaga (EIA) AS menunjukkan inventori minyak mentah AS menokok untuk tujuh minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, pasaran disokong dalam jajaran sempit antara AS$4 hingga AS$5 sejak November, apabila OPEC dan pengeluar utama lain bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran.

“Data EIA menunjukkan stok meningkat 564,000 tong kepada 518.7 juta minggu lalu,” kata ANZ dalam satu nota.

“Sekiranya aliran import rendah dan peningkatan perlahan dalam inventori berterusan dalam minggu-minggu mendatang, ia menunjukkan bahawa usaha pengurangan pengeluaran yang diusahakan OPEC mula memberikan impak.”

=EZY=