Categories
KENYATAAN MEDIA

Tangkapan SPRM kes rasuah anak & Pegawai Khas Exco Kerajaan Johor

OLEH DR AFIF BAHARDIN

Angkatan Muda Keadilan merakamkan penghargaan atas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah berjaya menahan beberapa individu melibatkan penjawat awam.

Ia termasuk anak dan pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Johor yang terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan berkaitan penjualan tanah di negeri Johor.

Skandal rasuah melibatkan kerajaan negeri Johor ini membuktikan betapa dakwaan dan pendedahan sebelum ini mengenai amalan rasuah di dalam kerajaan UMNO dan Barisan Nasional bukanlah satu mitos atau dongeng tetapi sebaliknya merupakan amalan dan rupa sebenar pemerintah UMNO dan Barisan Nasional di seluruh negara.

Skandal rasuah di Johor ini lebih mengemparkan apabila ianya melibatkan dua pemuda daripada parti berkenaan.

Angkatan Muda Keadilan percaya, skandal terbaru ini dan juga skandal-skandal sebelum ini hanyalah sebilangan kecil, “the tip of the iceberg” daripada amalan rasuah sebenar yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Rasuah yang berleluasa di dalam UMNO dan Barisan Nasional ini yang telah mengakibatkan jutaan ringgit duit rakyat telah bocor dan tiris.

Angkatan Muda Keadilan juga ingin mencabar, Ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional, YB Khairy Jamaluddin, untuk mengarahkan (termasuk diri beliau sendiri) semua anggota Pemuda UMNO dan Barisan Nasional yang memegang jawatan sebagai wakil rakyat dan jawatan di dalam kerajaan Pusat mahupun Negeri untuk mengisytiharkan harta kepada umum demi prinsip ketelusan.

Pengisytiharan harta ini perlu agar rakyat dapat menilai dan melihat sendiri sumber kekayaan dan harta pemuda-pemuda ini.

Angkatan Muda Keadilan menyokong sepenuhnya usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melakukan penguatkuasaan dan pencegahan amalan rasuah di negara ini.

Namun begitu kami menggesa SPRM untuk terus juga mendedahkan dan menyiasat keterlibatan Perdana Menteri di dalam skandal RM2.6 billion dan juga 1MDB yang masih tiada pertanggungjawaban sehingga ke hari ini.

* DR AFIF BAHARDIN adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan