Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump lonjak minat rakyat AS mengenali Islam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Sekatan kontroversi dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka bakal melonjak minat rakyat negara Uncle Sam itu untuk lebih mengenali Islam.

Pensyarah Pengajian Agama di Leeds Trinity University, Anna Piela berkata, rumusan itu diperoleh berdasarkan respon ahli akademik sama ada Islamophobia yang berkembang sejak tragedi 9/11 menjadi lebih teruk dengan pentadbiran Trump.

Katanya, respon bagaimanapun menyatakan minat pelajar universiti terhadap pengajian Islam dan Timur Tengah meningkat setiap kali berlakunya peralihan kuasa politik.

islamophobia3“Prof Madya Pengajian Antropologi dan Silang Budaya di University of Houston-Clear Lake Texas, Maria Curtis memberitahu, setakat ini terdapat 22 pelajar berdaftar dalam kelas Pengajian Islam di Amerika.

“Katanya, mereka berharap mempelajari lebih banyak berkenaan akar umbi Islam di AS dan sangat teruja untuk tahu berapa dalam akar itu,” katanya dipetik Times Higher Education.

Beliau berkata, pandangan itu turut disokong kenyataan Charles Kurzman dan Carl W Ernst dari University of North Carolina di Chapel Hill dalam kertas kerja bertajuk Pengajian Islam di Universiti AS, pada 2012.

“Mereka mendapati minat terhadap Islam di institusi pengajian tinggi AS menunjukkan peningkatan, sejak 2011.

“Bilangan disertasi dan artikel akademik tentang Islam juga berkembang pesat selari dengan tumpuan dan sensasi yang media berikan kepada Islam,” katanya merujuk laporan kertas kerja itu.

Pada 28 Januari lalu, Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Terbaru, Rumah Putih dilapor sedang mempertimbang cadangan merangka perintah eksekutif baru berhubung sekatan terhadap pendatang selepas Mahkamah Agung membatalkan perintah eksekutif terdahulu.

-NFN-