Categories
SELANGOR

HIJRAH sasar salur pinjaman lebih RM100 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) mensasarkan penyaluran pinjaman RM103.32 juta kepada seluruh rakyat melalui kerjasama berterusan dari Ahli Dewan Negeri (ADN), tahun ini.

Ketua Pengurus Operasi, Roslim Md Akhir berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada respon diterima serta usaha berterusan penyertaan di kalangan ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), usahawan belia dan veteran angkatan tentera.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 31,552 peserta HIJRAH sudah menerima manfaat dengan nilai pinjaman RM171.9 juta.

“Kita terus menggiatkan usaha meningkatkan jumlah peserta dan yakin dapat mencapai sasaran dengan pelbagai program kesedaran masyarakat untuk memajukan perniagaan.

“Ia dapat tercapai dengan adanya sokongan baik dari wakil rakyat dan pemimpin tempatan, usaha ini dilihat lebih berkesan,” katanya di Majlis Penyerahan Baucar Pembiayaan Hijrah, baru-baru ini.

Roslim berkata penyaluran pinjaman itu memberi manfaat besar dalam mengembangkan perniagaan peniaga kecil dan sederhana ke arah meningkatkan pendapatan mereka.

Sehubungan itu, pihaknya terus memantau prestasi bayaran balik setiap peserta selain memberi peluang latihan keusahawanan dan pendedahan kepada peluang perniagaan baharu yang berpotensi melalui Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad.

Baru-baru ini, penyerahan baucar HIJRAH dilaksanakan serentak oleh ADN setiap kawasan kepada 1,239 peminjam dengan nilai pinjaman RM9.133 juta.

Setakat ini, jumlah pembiayaan keseluruhan bagi 2017 adalah RM11.677 juta.

Dalam Belanjawan Negeri 2017, program itu bakal menyediakan dana pusingan RM185 juta termasuk dana khas untuk kumpulan sasar baru.

=EZY=