Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

JAKESS bantu bekas isteri tuntut nafkah percuma

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 FEB: Tidak mampu membiayai yuran guaman yang tinggi untuk memulakan proses mahkamah bagi bekas isteri menuntut nafkah diri dan anak-anak daripada bekas suami merupakan antara punca utama mereka gagal mendapatkan hak mereka.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Yang Amat Arif Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtarbberkata, bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JAKESS menyediakan khidmat nasihat perundangan secara percuma sehinggalah mereka berjaya memperolehi tuntutan nafkah dipersetujui sebelumnya.

“Bayangkan khidmat nasihat sahaja dah dikenakan caj. Itu belum lagi buka fail dan sebagainya yang memakan belanja besar dan keadaan ini menyebabkan bekas isteri tak ambil tindakan kerana tak mampu bayar kos guaman yang tinggi.

“Tetapi BSK menyediakan perkhidmatan ini secara percuma sehinggalah tuntutan berjaya,” kata Mohd Na’im.

Beliau berkata demikian pada program Ketua Hakim Syarie Bersama Media di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, selain membantu bekas isteri membuat tuntuan mahkamah, BSK turut membantu dengan mendahulukan bayaran wang nafkah untuk tempoh selama enam bulan sebelum tuntutan nafkah berjaya diperolehi.

“Sementara proses tuntutan berjalan, bekas isteri dan anak-anaknya tentu memerlukan wang untuk kegunaan seharian, sebab itulah BSK beri wang pendahuluan dan selepas tuntutan berjaya jumlah nafkah enam bulan tadi akan dikembalikan semula ke tabungan BSK,” katanya.

Bagaimanapun katanya, wang pendahuluan nafkah selama enam bulan itu diubah kepada bantuan penuh sekiranya bekas suami penuntut gagal dikesan atau benar-benar tidak mampu melunaskan bayaran nafkah seperti diisytiharkan muflis.

Katanya lagi, antara tindakan boleh diambil, termasuklah menyita dan melelong aset dimiliki bekas suami bagi mencairkan aset yang ada kepada wang tunai serta menjatuhkan hukuman penjara sehingga maksima selama tiga tahun sekiranya melanggar perintah mahkamah.

“BSK adalah unit khas mengesan bekas suami ingkar menunaikan tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anaknya seperti diperintahkan mahkamah di mana BSK akan mencari hingga ke lubang cacing,” katanya.

=EZY=