Categories
PBT SELANGOR

Rumah tinggal; MBSA perlu lebih tegas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digesa bertindak lebih tegas berhubung isu rumah tinggal di kawasan pentadbirannya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, rumah yang ditinggal pemilik dan terbiar dikhuatiri menjadi pencetus pelbagai isu lain termasuk kebersihan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

Katanya, ia juga mengundang pemandangan kurang menyenangkan selain memberi kesan langsung kepada penghuni berhampiran.

“Satu penyelesaian lebih holistik diperlukan jika tidak masalah tidak selesai malah boleh mengundang masalah lain.

“Mungkin MBSA boleh mewujudkan undang-undang kecil baru, bukan sekadar melakukan kerja pembersihan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau ‘melawat’ sebuah rumah tinggal yang terbiar tanpa penghuni sejak tiga tahun lalu, di Jalan Cili 1, Seksyen 24, di sini, semalam.

Rombongan turut disertai wakil MBSA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan wakil penduduk.

Difahamkan, pemilik pertama rumah tinggal berkenaan sudah meninggal dunia sementara pemilik terbaru gagal dijejaki.

Sementara itu, wakil MBSA berkata, pihaknya hanya berkuasa untuk membersihkan kawasan rumah tinggal, berdasarkan peruntukan sedia ada.

=EZY=