Categories
SELANGOR

Kaedah baru jaya projek tanaman durian belanda Tanjung Sepat

OLEH HAFIZAN TAIB

TANJUNG SEPAT, 7 FEB: Projek penanaman durian belanda di DUN Tanjung Sepat diusahakan sejak 2013 diteruskan dengan kaedah baru bagi penghasilan buah lebih berkualiti dan baik.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berkata, melalui pendekatan baru itu, projek terbabit mampu memberikan pulangan hasil seperti mana diingini demi manfaat penduduk tempatan dan pihak berkaitan.

“Bagi tujuan itu, kita sudah mendapatkan pandangan dan bantuan pihak tertentu mengenai kaedah pendebungaan secara manual dan telah menunjukkan hasil seperti diingini apabila ia akan diperkenalkan kepada pengusaha tanaman.

“Tahun ini kita merancang melaksanakan di sebelah selatan Kuala Langat dan Sepang iaitu di kawasan sekitar dua ekar dikenal pasti di Bukit Bangkong atau Ulu Teris,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan baru itu diambil ekoran projek berjalan lebih dua tahun itu biarpun berjaya membuahkan hasil namun tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, dengan kaedah sesuai dikenal pasti maka projek itu digerakkan lebih aktif pada tahun ini dengana fokus kepada kuantiti, kualiti serta kesihatan pokok diusahakan.

“Pada tahun ini, kita juga merancang membuka sebuah lagi ladang dengan kerjasama pemilik tanah individu bersedia bagi menjayakan projek seterusnya.

“Selepas ini apabila berhasil, kita mungkin akan dapat memasarkannya dalam bentuk jus atau yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan projek perintis penanaman durian belanda itu yang bermula di Sungai Projek hasil cetusan anak muda tempatan sebagai salah satu usaha menbantu golongan berpendapatan rendah

Projek itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin di DUN itu bagi peningkatan ekonomi selain memupuk semangat berdikari di kalangan mereka khususnya anak muda.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Hasil pertama durian belanda Sungai Lang Baru awal 2015

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 16 NOV: Projek tanaman durian belanda yang diusahakan penduduk Kampung Sungai Lang Baru, di sini, mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Projek berskala kecil yang mula diusahakan secara kelompok sejak setahun lalu itu dijangka akan mengeluarkan hasil pertamanya awal tahun depan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, usaha itu perlu dicontohi dan tidak mustahil akan menjadi projek tanam berskala besar jika diusahakan secara meluas.

durian_belanda“Usaha ini mendapat respon baik dari Jabatan Pertanian Selangor dan saya minta mereka untuk memberi fokus dengan membuat kajian pemasaran kerana dalam tempoh tujuh bulan lagi tanaman ini akan mengeluarkan hasil pertamanya.

“Kita juga akan menyebar luas projek ini ke tanah lain, sekali gus menjadikan ia satu projek berskala besar dan berdaya maju pada masa hadapan,” katanya ketika melawat kebun durian belada di Kampung Sungai Lang Baru, di sini, hari ini.

Projek tanaman durian belanda adalah inisiatif ADUN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, bagi membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dengan memberikan 2,500 anak pokok secara pecuma kepada 10 kampung tradisi.

“Tahniah kepada penduduk kampung dan ADUNnya kerana berjaya membangunkan projek ini dan saya harap kampung berdekatan turut serta dalam memastikan ia menjadi projek berskala besar.

“Ia adalah projek perintis di Selangor dan diharapkan ia terus berkembang maju,” katanya.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (3)Mengulas lanjut, Zaidy berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meneroka peluang yang ada untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya banyak belajar dari negara luar, di Pekan Baru Riau, Indonesia, durian belanda adalah produk tani yang popular kerana khasiat daunnya boleh mengubati kanser dan panyakit gaut.

“Kita sedang giat membuat kajian berhubung peranan herba dan akan mencari suatu tapak untuk dijadikan hub tanaman herba dan durian belanda ini adalah sebagai tanaman itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DUN Tanjung Sepat bangun pertanian durian belanda

Oleh : NORHAYATI UMOR

TANJUNG SEPAT 31 DIS: Dalam usaha merancakkan ekonomi penduduk setempat, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat memulakan langkah dengan memberikan anak pokok durian belanda secara pecuma kepada 50 peserta di 10 kampung tradisi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Haslin Hassan, berkata 2,500 pokok akan ditanam di kampung yang dijangka mengeluarkan hasil selepas dua tahun, pada peringkat permulaan itu.

haslin“Cetusan idea ini daripada anak muda yang mahu memasarkan hasil pertanian ke pasaran sekitar, yang mana durian belanda dipilih kerana mudah diurus dan dipasarkan.

“Jadi selepas dua tahun ini, kita akan menjual anak benih durian belanda dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran jika penduduk berminat untuk terus menjalan aktiviti penanaman pokok ini.

“Dengan cara ini juga, Tanjung Sepat boleh dikenali sebagai pengeluar durian belanda dan kami mahu pengusaha menjualnya kepada pihak yang mencetuskan idea ini kerana mereka mempunyai permintaan tersendiri,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Haslin memaklumkan kawasan Pantai Batu, Tanjung Sepat akan mula dirancakkan dengan aktiviti dan pembangunan seterusnya menjadikan kawasan itu sebagai destinasi perlancongan yang dikenali ramai.

Beliau berkata, pihaknya sedang merancang menaiktaraf kawasan itu dalam tempoh dua tahun ini dan Pantai Batu itu dipilih untuk dijadikan destinasi perlancongan ekoran keinginan memajukan sukan perahu layar di negeri itu.

“Ramai anak muda tempatan digilap daripada sukan ini, jadi kerajaan negeri bersamaPersatuan Perahu Layar akan berusaha memajukan sukan itu nanti bagi melahirkan lebih banyak atlet.

“Dengan cara ini, kita dapat membantu mempromosikan aktiviti sedia ada termasuk mengadakan latihan sukan perahu layar itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Durian Belanda, Kopi 3K tingkat ekonomi Tanjung Sepat

Oleh : HAFIZAN TAIB,

TANJUNG SEPAT 12 NOV : Projek tanaman Durian Belanda akan dijalankan di DUN Tanjung Sepat bagi membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi masyarakat tempatan seterusnya memacu pembangunan ekonomi di kawasan DUN itu.

haslinAdun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, berkata projek penanaman itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat dengan perancangan di kawasan halaman rumah di kawasan kampung yang disertai penduduk sendiri.

Beliau berkata, ia dirangka disebabkan agak sukar bagi Kerajaan Negeri untuk menyediakan kawasan bagi tujuan peladangan atau pertanian untuk masyarakat setempat.

“Kita akan mengusahakan tanaman ini dengan sasaran satu kampung membabitkan penyertaan 50 buah rumah yang mana satu rumah akan menanam sekurang-kurangnya lima batang pokok. Maka satu kampung akan menghasilkan jumlah 250 pokok Durian Belanda.

durian_belanda“Dengan cara ini jika 10 kampung terbabit dalam projek ini maka kita akan dapat hasil sebanyak 2,500 pokok dan dalam tempoh kira-kira dua ke dua setengah tahun pokok-pokok ini akan menghasilkan buah-buahan untuk tujuan pasaran,” katanya.

Haslin berkata, pemasaran produk itu juga akan dibantu menerusi agensi serta pihak berkaitan demi kebaikan masyarakat tempatan.

Katanya, projek cetusan anak muda tempatan itu adalah salah satu usaha bagi menbantu golongan berpendapatan rendah dan miskin di DUN itu bagi peningkatan ekonomi selain memupuk semangat berdikari di kalangan mereka.

“Selain itu kita juga akan menggerakkan beberapa usaha lain seperti industri produk kopi kampung di kenali Kopi 3K yang mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat di kawasan itu.

“Terdapat pengusaha yang perlu dibantu untuk memajukan perniagaan mereka dan kita akan melihat apa keperluannya supaya ia dapat dijayakan termasuk membantu bagi mendapatkan sijil halal untuk tujuan memasarkannya di pasaran luar,” katanya.

Haslin berkata, projek tanaman nanas akan turut dijalankan di DUN itu pada masa depan sebagai salah satu sumber tambahan pendapatan penduduk.

“Kita akan jalankan projek itu selepas ini tetapi biarlah projek tanaman Durian Belanda diusahakan dulu dan membuahkan hasil,” katanya.

EZY