Categories
NASIONAL

Maria Chin bertanding PRU-14, letak jawatan Pengerusi BERSIH

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 6 MAC: Maria Chin Abdullah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi BERSIH 2.0 dan mengumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Maria berkata, dia akan menawarkan diri sebagai ahli Parlimen dan calon bebas Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Keputusan berundur daripada Bersih 2.0 sebagai pengerusi adalah bagi menyahut cabaran baru dalam dunia politik sekali gus mengukuhkan reformasi agenda demokratik di negara ini.

“Saya juga tidak menyertai mana-mana parti politik supaya dapat kebebasan meneruskan agenda ini sekali gus membantu saya merealisasikannya.

“Walaupun memilih landasan PAKATAN, namun bertanding sebagai calon bebas dapat memberi saya tumpuan dalam mendorong agenda pembaharuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Maria melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi BERSIH 2.0 pada 4 Mac lalu selepas Jawatankuasa Pemandu menerima perletakan jawatannya yang mana semalam adalah hari terakhir beliau di pejabat.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MAC 2017- Bulan Daftar Mengundi

Hari ini, BERSIH 2.0 melancarkan kempen daftar pengundi yang akan berlangsung sepanjang bulan Mac 2017.

“Kempen U” menyasarkan lebih kurang empat juta rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk mengundi.

Dilambangi oleh huruf “U” yang mewakili “UNDI” (juga mewakili “you”/anda), kempen daftar pengundi BERSIH 2.0 akan mengembalikan kuasa ke dalam tangan rakyat Malaysia dan menguatkan falsafah BERSIH sebagai satu pergerakan rakyat.

Petak kosong mempelawa orang ramai untuk berkongsi dengan kami matlamat undian mereka, dan menekankan kepentingan untuk mendaftar. Ini juga berfungsi untuk mengaitkan aspirasi pendaftar dengan wakil rakyat mengenai perubahan yang diidamkan oleh rakyat Malaysia demi tanahair kita.

IMG_20170221_115944-800x570Dengan memperkenalkan rekabentuk yang anggun dan satu aspek yang lebih berinteraktif, kami berharap ia akan menarik perhatian generasi muda di samping menunjukkan iltizam kami untuk merapatkan jurang di antara bandar dan desa.

Kempen ini merangkumi beberapa aktiviti lapangan seperti di pejabat-pejabat pos dan acara lain di seluruh Malaysia mulai Sabtu ini, 25 Februari 2017.

BERSIH 2.0 memilih bulan Mac untuk melangsungkan kempen ini kerana ia merupakan hujung suku tahun ini di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mula memproses pendaftaran tersebut.

Setiap pendaftaran baru akan memakan masa hampir enam bulan untuk memproses dan pewartaan. Oleh itu 31 Mac 2017 merupakan hari yang terakhir untuk rakyat Malaysia untuk mendaftar sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bulan September 2017.

Walaupun pendaftaran pengundian adalah tanggungjawab SPR namun mereka merumit dan menyusahkan proses mendaftar pengundi dan mengabaikan cadangan BERSIH untuk melakukan pendaftaran pengundi secara automatik.

Memandangkan pengundian memainkan peranan yang penting dalam proses demokratik, BERSIH 2.0 terpaksa melangkah masuk dan mengerakkan “Kempen U” ini.

Objektif utama kempen ini adalah untuk menggalakkan dan mengkerahkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sendiri di pejabat pos.

Cuma mereka yang berdaftar sebelum 31 Mac 2017 boleh mengundi menjelang PRU14 (sekiranya ia diadakan pada September 2017), oleh itu ia adalah mustahak untuk mereka yang belum berdaftar untuk mendaftar secepat mungkin di pejabat pos terdekat.

Bagi yang sudah berdaftar, mereka boleh membawa ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak mengundi untuk berdaftar di pejabat pos.

Jika SPR bersungguh-sungguh ingin memenuhi tugasnya, kami mengalu-alukan mereka untuk bekerjasama dengan BERSIH 2.0 dalam usaha kami untuk mendorong pendaftaran pengundi.

Mengundi adalah salah satu hak paling berkuasa bagi rakyat dalam sistem berdemokrasi. Malahan, ia adalah pendekatan paling terus yang boleh membawa perubahan dan memastikan suaramu tidak diabaikan.

BERSIH 2.0 menyaran semua warga Malaysia agar tidak meringan-ringankan tanggungjawab berdemokratik ini. Ambil langkah pertama dan daftar sebagai pengundi hari ini.

Ditandatangani oleh ahli-ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0

Categories
NASIONAL

Maria ditahan polis selepas Pejabat BERSIH diserbu

SHAH ALAM, 18 NOV: Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan Pegawai Sekretariat gabungan itu, Mandeep Singh Karpal ditahan polis sebelum dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sekitar jam 5 petang tadi.

Ia susulan serbuan Polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di pejabat BERSIH di Petaling Jaya, hari ini.

Serbuan dan tangkapan pasukan dari Bukit Aman itu berlaku kurang 24 jam sebelum menjelang Perhimpunan BERSIH 5 di Kuala Lumpur.

BERSIH menerusi laman twitternya juga memaklumkan polis merampas 10 komputer riba dan penyataan bank serta slip gaji.

Sebelum ini, Mandeep Singh berkata serbuan itu dijalankan bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, berkaitan kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kereta anak Maria Chin pula disimbah cat merah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hari ini menerima satu lagi ugutan apabila kereta anak lelakinya disimbah cat merah, selepas dua hari menerima ugutan bunuh daripada orang yang tidak dikenali.

Sekretariat Bersih, Mandeep Singh berkata, kejadian dikatakan berlaku pada awal pagi, di perkarangan rumahnya.

“Sejak hari pertama tarikh himpunan aman Bersih 5 diumumkan, serangan jijik, kotor dan ganas ini dilakukan terhadap Maria dan keluarganya.

“Malah, dua hari lalu, Maria dan tiga anaknya bersama Ambiga Sreenevasan dan saya sendiri turut diugut bunuh,” katanya dalam kenyataan.

img_144752Maria sebelum ini mengakui menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau merujuk kepada gambar disunting memaparkan dirinya dalam keadaan berlutut sambil pisau diajukan kepadanya.

Sementara itu, Maria dan anak lelakinya membuat satu laporan polis pagi ini susulan kejadian simbahan cat itu.

“Petang ini, Bersih 2.0 akan ke Bukit Aman untuk menyerahkan satu memorandum mengenai semua kejadian yang berlaku,” katanya.

Difahamkan, Maria enggan mengulas lanjut berkenaan ugutan terbaru yang diterimanya atas faktor keselamatan anaknya.

Sebelum ini, Bersih 2.0 tetap meneruskan penganjuran himpunan aman Bersih 5 meskipun pengerusinya, Maria Chin Abdullah menerima ugutan bunuh ala militan IS.

Maria berkata, tuntutan Bersih 5 wajar diteruskan demi kelangsungan dan manfaat masyarakat Malaysia.

Media mendedahkan Maria menerima ancaman bunuh menerusi pesanan aplikasi Whatsapp dari nombor tidak dikenali.

Mesej berkenaan turut mendedahkan gambar Maria bersama anggota sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan bekas Pengerusi gabungan itu, Ambiga Sreenevasan yang diacu pisau di leher, sebagaimana dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka turut menerima ancaman bunuh daripada individu tidak bertangungjawab, menerusi mesej tersebut.

Tiga anak Maria turut menerima ugutan sama apabila gambar pada kad pengenalan mereka dilampirkan dalam salinan mesej berkenaan.

-nR-